SELEPAS memulakan kempen Liga Super dengan sungguh kekok, Perak FC memutuskan untuk melakukan perbelanjaan secara mewah untuk jendela perpindahan kedua.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Interim kelab, Bobie Faris Shamsudin mengatakan perubahan bakal dibuat dengan jumlah skuad bakal dikecilkan selain menambah baik kualiti pemain.
Langkah awal yang dibuat untuk mengotakan janji berkenaan adalah apabila pihak pengurusan memilih untuk melepaskan bek tengah, Haziq Puad ke Penang FC secara pinjaman.
Namun, perubahan mereka tidak terhenti di situ memandangkan kelab Utara tanah air itu terus melakukan pelaburan besar-besaran untuk menguatkan lagi pasukan.
Milunovic diumumkan sebagai pemain baharu skuad TBG untuk mendapatkan gol. — Facebook/Perak FC
Pemain berdarah kacukan Sweden-Filipina, Jesper Nyholm menjadi rekrut pertama skuad The Bos Gaurus (TBG) sebelum mereka mengumumkan kehadiran pemain tengah Terengganu FC, Azalinul Alias.
Baru-baru ini, Perak FC mengumumkan kehadiran penyerang baharu, Luka Milunovic untuk meningkatkan lagi peluang jentera serangan dalam mendapatkan jaringan.
Tetapi, melihat kepada kualiti skuad sedia ada, masih terdapat beberapa posisi yang perlu diperbaiki sekiranya pasukan di tangga ke-11 Liga Super itu mahu menamatkan saingan di kedudukan lebih baik.
Antara yang wajar diberikan perhatian lanjut ialah kualiti pemain sayap yang mereka miliki memandangkan masing-masing terus bergelut untuk memberi impak buat pasukan.
Firdaus sering dialu-alukan untuk kembali ke skuad TBG.
Jadi, dalam menyelesaikan masalah itu, pihak pengurusan skuad TBG difahamkan berhasrat untuk memanggil semula Firdaus Saiyadi yang kini dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC.
Berdasarkan ciapan wartawan The Star, T Avineshwaran, pemain berkenaan akan kembali ke majikan asalnya meskipun mencuba untuk melebarkan sayap kariernya di Lembah Klang.
"Firdaus Saiyadi berpotensi untuk pulang ke Perak, perbincangan sedang berlangsung," tulisnya pada Rabu.
Setakat ini, pemain berusia 26 tahun itu hanya diturunkan sebanyak lima kali buat KL City FC dengan dua daripadanya merupakan penampilan dalam Piala FA.
Kepulangan penyerang sayap itu semestinya cukup dialu-alukan penyokong skuad TBG memandangkan Firdaus mempunyai hubungan cukup baik dengan kelab Utara tanah air berkenaan.
Di samping merupakan produk daripada skuad belia Perak FC, pemain lincah itu juga pernah mencipta momen-momen manis, termasuk ketika dia menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram