Tempoh pinjaman di Pantai Timur ditamatkan awal, arkitek berusia 26 tahun kembali semula ke pangkuan Harimau Kumbang


  • Podium
  • Selasa, 11 Jul 2023

Faiz Mazlan sudah mengukuhkan tempatnya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC

KELAB tercorot Liga Super, Kelantan FC seperti terpaksa meletakkan harapan tinggi terhadap pemain muda untuk baki musim selepas hampir keseluruhan tonggak pasukan meninggalkan mereka.

Masalah pengurusan yang berlarutan sejak awal musim menyaksikan beberapa pemain bertindak sedemikian, termasuk kesemua pemain import kelab.

Ketika ini, skuad The Red Warriors (TRW) hanya memiliki seorang pemain luar, iaitu Nataneal Siringoringo yang menamatkan tempoh pinjamannya dari kelab Indonesia, Dewa United FC.

Hal tersebut pasti akan merumitkan lagi harapan pihak pengurusan untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok 10 pasukan teratas memandangkan mereka hanya mengutip empat mata daripada 15 perlawanan.

Bagaimanapun, dalam aksi liga menentang Penang FC pada Sabtu lalu, skuad TRW yang dibarisi hampir keseluruhan pemain muda menampilkan persembahan cukup bersemangat.

Tiga gol yang dijaringkan Siringoringo dan dua daripada Harith Akif Shahar menunjukkan terdapat peningkatan ketara dalam pendekatan diambil ketua jurulatih baharu, Angel Alfredo Vera.

1987051

Faiz tidak mencatatkan sebarang gol atau bantuan jaringan sepanjang separuh musim bersama Kelantan FC. Facebook/TRW Kelantan FC

Meskipun idea berkenaan dilihat tidak akan menjanjikan kejayaan, ia memberi satu sinar baharu buat pengikut setia TRW untuk terus memberi sokongan terhadap pasukan kesayangan mereka itu.

Jadi, pendekatan untuk menurunkan pemain muda pasti diharapkan untuk diteruskan dengan orang ramai lebih mempercayai kebolehan mereka di samping cukup mengagumi kesungguhan masing-masing.

Harapan berkenaan seperti memberi idea terhadap pihak pengurusan untuk tidak lagi memberi kepercayaan ke atas mereka yang kurang melakukan sumbangan buat Kelantan FC.

Antara yang dikatakan sesuai untuk meninggalkan skuad TRW ialah pemain tengah berusia 26 tahun, Faiz Mazlan yang tiba dari Penang FC ketika jendela perpindahan yang lalu.

Meskipun diberikan peluang untuk beraksi untuk hampir keseluruhan perlawanan Liga Super, arkitek tengah berkenaan gagal memberi sebarang sumbangan di hadapan pintu gol.

WhatsApp Image 2023-07-11 at 11.44.17

Kepulangan ke skuad Harimau Kumbang dilihat sebagai alternatif terbaik buat Faiz. Facebook/Penang FC

Bagi sesetengah pihak, statistik kurang memberangsangkan itu berpunca daripada pendekatan pihak kejurulatihan yang tidak membenarkannya untuk terlibat dari segi serangan.

Namun, ia juga tidak boleh dianggap sebagai satu alasan munasabah memandangkan dia masih terlibat dalam situasi bola mati dengan peluang berkenaan wajar diambil sebaik mungkin.

Tetapi, dalam satu perkhabaran ketika ini, terdapat khabar angin bahawa Faiz akan kembali ke pangkuan skuad Harimau Kumbang walaupun kontraknya hanya akan berakhir pada penghujung musim 2023.

Ura-ura berkenaan berpunca daripada ciapan wartawan bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam pada Isnin yang mencuri perhatian ramai pihak.

"Pemain tengah Faiz Mazlan kembali ke Penang. Difahamkan, tamatkan kontrak pinjaman lebih awal daripada pasukan terdahulu, Kelantan TRW," tulisnya.

Setakat ini, pemain kelahiran Selangor terbabit sudah diturunkan sebanyak 14 kali dengan 13 daripadanya merupakan penampilan dari kesebelasan utama.

Faiz sebelum ini pernah dipinjamkan ke beberapa pasukan Liga Super yang lain, termasuk Felda United dan Petaling Jaya (PJ) City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram