JOHOR Darul Takzim (JDT) gah menghuni tangga pertama selepas mengutip tiga mata penuh di laman sendiri ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan ke-16 Liga Super 2023.
Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor, itu menyaksikan pertembungan agak sengit walaupun Harimau Kumbang berdepan dengan pasukan yang berada dalam kedudukan tercorot liga.
Dalam perlawanan tersebut juga, Safawi Rasid tampil beraksi selepas enam bulan dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.
Penyerang sayap itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-67 untuk mengambil alih tugas tonggak utama Fernando Forestieri.
Pengendali JDT, Esteban Solari. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Menerusi satu temu bual bersama Astro Arena, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari turut memberi pesanan khas kepada pemain sayap sensasi pasukan, Safawi Rasid agar tampil dengan prestasi cemerlang ketika diberi peluang untuk beraksi.
"Menurunkan Safawi adalah sebahagian daripada taktikal sebelum perlawanan dimulakan. Safawi memerlukan aksi permainan untuk mendapatkan semula keyakinan dan membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan.
"Safawi tahu apa yang saya inginkan daripada dia, saya beritahu dia yang saya tidak mahukan Safawi yang dulu, saya mahukan Safawi yang baharu.
"Safawi perlu menggunakan peluang yang diberikan apabila diberi kepercayaan ketika beraksi kerana kelab ini tidak beri banyak peluang. Ada 30 pemain yang beratur untuk berebut posisi," katanya kepada wartawan Astro Arena.
Tambahnya lagi, semua pemain Harimau Selatan perlu memberikan aksi yang menarik apabila diberi peluang untuk beraksi.
"Bila pemain ada masa 20 hingga 30 minit di atas padang, mereka perlu beri persembahan yang terbaik,ini mentaliti yang perlu ada," jelasnya.
Pasukan JDT kekal mengungguli carta pertama dengan mengutip 48 mata sepanjang 16 perlawanan Liga Super 2023 berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram