KARIER pemain bola sepak profesional boleh musnah bila-bila masa sahaja dan lebih teruk lagi nama mereka terus terkubur dari arena sukan apabila terpalit dengan isu membabitkan pihak polis.
Seperti kejadian yang menimpa pemain Manchester United, Mason Greenwood apabila masih tidak diberikan kesempatan untuk beraksi berikutan dakwaan bertindak ganas terhadap seorang wanita.
Walaupun tuduhan berkenaan sudah digugurkan pada tiga bulan lalu namun pihak pengurusan Man United masih tidak memberikan apa-apa jawapan mengenai masa depan penyerang tersebut.
Hakikatnya, kisah seperti Greenwood itu bukan hanya berlaku di luar negara apabila kejadian sama turut berlaku kepada salah seorang pemain Liga Super.
Laporan daripada pihak Majoriti sebelum ini menyatakan bahawa hasil siasatan mendapati insiden tersebut terjadi akibat perselisihan faham antara mangsa dengan teman lelakinya sehingga berlaku keganasan.
Insiden itu bukanlah pertama kali pemain Liga Malaysia (Liga M) terbabit dengan isu melibatkan pihak berkuasa berikutan sebelum ini ada laporan berhubung pemain yang terlibat dengan salah laku.
Baru-baru ini seorang bekas pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut, Johor pada Isnin lalu.
Namun kebanyakan kes ini berlaku kepada bekas pemain bola sepak yang sudah lagi tidak beraksi dalam Liga Malaysia.
Majoriti senaraikan tiga penyebab utama bekas pemain bola sepak terpalit dengan isu membabitkan pihak polis:
Bekas pemain bola sepak turut didakwa terlibat dalam judi online. — Gambar hiasan.
1. Kaki mesin (judi online)
Salah satu aplikasi pantas untuk mendapatkan duit dengan mudah hingga menyebabkan ada anak muda yang terjebak dengan permainan judi dalam talian.
Bukan sahaja anak muda, orang dewasa turut tidak ketinggalan untuk mencuba nasib menjadi jutawan dengan cara pantas meskipun tahu perbuatan itu salah di sisi agama.
Bekas pemain bola sepak turut didakwa bermain judi online untuk mendapatkan wang dengan mudah apabila simpanan semasa aktif bermain sudah kehabisan.
Walaupun tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak polis, namun khabar angin kuat mengatakan ramai bekas pemain bola sepak terlibat dengan judi online.
Gambar ketika seorang bekas pemain kebangsaan ditahan pihak polis. — Facebook
2. Pengunaan dadah
Pada Julai 2022, penyokong dikejutkan dengan isu seorang bekas pemain skuad kebangsaan Malaysia ditahan oleh pihak polis di sekitar Johor Bahru, Johor selepas didapati memiliki bahan terlarang.
Lelaki yang dipercayai berusia 36 tahun tersebut ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis Methamphetamine. Dia difahamkan pernah menyarung jersi tiga pasukan Liga M lain pernah menganggotai skuad kebangsaan bawah 23 tahun serta skuad senior kebangsaan.
Suspek yang juga anak bekas pemain sebuah kelab Lembah Klang itu pernah membantu pasukannya memenangi kejuaraan Liga Super sebanyak enam kali bersama dua pasukan berbeza antara tahun 2009 hingga 2017.
Selepas bersara dari karier profesional, pemain yang pernah menyarungkan jersi kelab selatan tanah air itu dikatakan terlibat dengan aktiviti bola sepak di sebalik tabir namun tidak berpanjangan.
Tangkap layar Insta Story Nurshamil.
3. Hutang
Gaya hidup mewah semasa aktif bermain bola sepak membawa kesan negatif apabila segelintir bekas pemain tidak mempunyai simpanan wang yang cukup untuk membayar hutang.
Segelintir pemain juga tidak pandai menguruskan wang simpanan apabila mereka boros dengan membeli barangan mewah meskipun tidak lagi aktif bermain bola sepak.
Kadangkala majikan juga boleh dipersalahkan apabila tidak membayar gaji pemain sekali gus memberi kesan kepada simpanan wang pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram