Nafuzi sedikit puas hati, Eddy kata lumrah bola sepak


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Sekitar aksi antara PDRM FC menentang KDA FC di Stadium MBPJ. — Facebook/MFL

KEMENANGAN berharga di laman lawan memberikan sinar buat Kedah Darul Aman (KDA FC) selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super 2023.

KDA FC berjaya mengutip tiga mata penuh ketika berdepan PDRM FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.

Dalam aksi tersebut, kedua-dua pasukan terikat sepanjang 80 minit permainan meskipun serangan demi serangan dilancarkan.

ifedayoo

Ifedayo menjaringkan gol pada minit ke-81 untuk meletakkan skuad Sang Kenari di hadapan. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Namun begitu, keputusan tersebut berubah pada penghujung perlawanan apabila nasib berpihak kepada Sang Kenari yang mempunyai kelebihan untuk mendapatkan jaringan menerusi sepakan penalti.

Ifedayo menerima tugasan berat itu dan menyempurnakan sepakan penalti dengan baik menewaskan Aqil Abdul Razak pada minit ke-80.

Bagaimanapun, Sang Kenari berjaya mendapatkan satu lagi sepakan penalti apabila pemain tengah menyerang, Lee Tuck dikasari beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Lee Tuck berjaya menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik yang meletakkan KDA FC dengan kelebihan dua gol sehingga tamat permainan.

Menerusi satu temu bual bersama Astro Arena, , ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain agak berpuas hati dengan persembahan yang diberikan oleh anak-anak buahnya itu walaupun mengetahui bahawa pemain Sang Kenari mampu berikan yang terbaik.

"Dari segi persembahan, saya agak berpuas hati sedikit tapi secara overall kita tahu mampu lakukan yang lagi baik.

"Tapi apa pun yang penting tiga mata dan segala kelemahan kita boleh perbaiki," katanya kepada Astro Arena.

Berbeza dengan situasi penolong ketua jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil meluahkan rasa kecewanya terhadap keputusan akhir perlawanan tersebut namun tetap berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh barisan pemain The Cops.

"Pertama sekali saya kena bagi kredit kepada pemain PDRM, berjuang dengan sehabis baik, bagi yang terbaik sepanjang 90 minit.

"Tapi yang kita faham, inilah bola sepak dan saya agak kecewa bila kita kalah dengan cara ini," kata Eddy.

Kemenangan itu menyaksikan kelab Utara tanah air itu mengukuhkan kedudukannya di tangga keempat Liga Super sementara PDRM FC kekal di tangga kelapan hasil kutipan 22 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram