Import baharu Sang Badak jadi hero, tapi pertahanan terima kecaman aksi menentang Kuching City


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Barisan pemain Sabah FC meraikan kemenangan ke atas Kuching City FC. — Facebook/MFL

SABAH FC menang tipis dengan keputusan 4-3 ke atas Kuching City FC dalam perlawanan ke-16 Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Likas,Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Dalam aksi tersebut, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) mempertaruhkan dua import baharu untuk membantu Sang Badak iaitu penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado dan bekas pemain Kelantan FC, Miguel Cifuentes.

Pada awal babak pertama perlawanan, kedua pasukan dilihat melakukan serangan namun tidak berjaya menguji gawang pihak lawan.

Namun begitu, rembatan kencang Saddil Ramdani membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-12 yang sekali gus berjaya membuktikan bahawa dia mampu beraksi dengan baik.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 20.19.09

Saddil Ramdani membuka tirai jaringan pada awal babak pertama. — Facebook/MFL

Tidak lama selepas itu, gandingan pemain The Cats, Abu Kamara dan Pedro Henrique menyaksikan kepantasan mereka dalam membuat serangan untuk menguji penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat namun tersasar keluar gawang.

Pemain import baharu Sang Badak, Ramon Machado mencetak gol pertama bersama Sabah FC pada minit ke-27 menerusi hantaran bantuan daripada pemain kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani yang menjadikan Sang Badak sebagai pendahulu perlawanan.

Pada babak kedua perlawanan, Kuching City FC berjaya mencuri satu gol menumpaskan penjaga gol Sang Badak menerusi rembatan kencang Amir Amri Salleh pada minit ke-55.

Bagaimanapun, Stuart Wilkin membuat rembatan kencang daripada luar kotak penalti yang berjaya memberikan jaringan ketiga buat The Rhinos pada minit ke-58 menerusi hantaran bantuan sekali lagi daripada Saddil Ramdani.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan The Rhinos memberi peluang kepada Abu Kamara menghasilkan dua jaringan iaitu buat pasukan The Cats yang masing-masing pada minit ke-67 dan ke-86.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 20.36.38

Ramon Machado muncul hero selepas cetak gol kemenangan buat pasukan Sabah. — Facebook/MFL

Walaupun anak-anak buah DOKS kehilangan rentak permainan pada masa kedua namun ketika saat-saat akhir Ramon menidakkan keputusan seri apabila mencetak gol kemenangan sekali gus jaringan keduanya pada minit ke-90+3 menewaskan Shaiful Wazizi.

Namun begitu, rata-rata penyokong Sang Badak mempertikaikan barisan benteng pertahanan The Rhinos yang dilihat mudah dirobek oleh pihak lawan.

"Kenapa defend Sabah makin lama makin lemah, nasib saja menang tadi," kata Frankie Stan.

"Terbaik Sabah! Tapi bahagian pertahanan kurang sikit kali ini, cepat bocor," kata Ahmad Saifuddin.

"Pertahanan dan penyerang SFC perlu kena kemas lagi, leading sudah tadi tapi defend buat hal, sayang kalau kalah di tempat sendiri," kata Paul John.

Skuad Sabah FC menghuni tangga keempat liga dengan mengutip 30 mata dalam 16 perlawanan berlangsung manakala The Cats kekal berada kedudukan ke-13. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram