KEHEBATAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam dunia bola sepak tanah air mampu membuat mana-mana pemain atau pasukan bola sepak tempatan gementar dengan kelab tersebut.
Walaupun pernah membelasah Skuad Jang 7-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi namun ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan tetap optimis menjelang aksi timbal balik yang akan berlangsung di tempat lawan pada Sabtu.
NSFC terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain seperti pemain tengah Saiful Ridzuwan Selamat, Safuwan Baharuddin, penyerang Shahrel Fikir Md Fauzi, Hafiz Ramdan dan Sean Selvaraj akibat kecederaan yang dihadapi.
Bukan itu sahaja, perancang utama Levy Madinda juga dikhabarkan akan terlepas perlawanan tersebut kerana dia merupakan pemain pinjaman daripada JDT dan tidak dibenarkan bermain ketika menentang kelabnya.
Bagaimanapun, Devan tetap meletakkan kepercayaan penuh terhadap seluruh pasukannya itu.
"Kami bermain sebagai pasukan terbaik dalam liga, jadi motivasi adalah tinggi. Ya, tonggak kami mengalami kecederaan tetapi saya percaya kepada pemain yang akan menggantikan mereka. Ia adalah tugas yang besar tetapi saya telah memberitahu mereka untuk memberikan yang terbaik demi diri mereka sendiri.
“Kekalahan 0-7, saya percaya, tidak akan berulang. Ketika itu, skuad kami masih membiasakan diri dengan liga dan pemain sudah faham dengan taktikal kami.
"Tetapi sekarang, kami telah bermain sebanyak 15 perlawanan, jadi keadaan pasti berbeza," kongsinya.
Sejak pertemuan pertama mereka, juara bertahan Liga Super JDT mengekalkan rekod 100 peratus konsisten selepas 15 perlawanan, mencatatkan 60 gol dan hanya bolos tiga untuk mendahului liga dengan 45 mata.
“Dari segi kualiti, kami tidak boleh bersaing dengan JDT. Kita perlu lihat secara objektif. Tetapi kami mempunyai strategi sendiri. Kami tidak akan gunakan taktik bertahan.
“Kami tidak boleh memberi ruang kepada pemain mereka. Pemain seperti Arif Aiman Hanapi, Bergson Da Silva, Diogo Santo dan Fernando Forestieri pandai mencari peluang untuk membuat serangan," jelasnya.
Skuad NSFC berada di tempat kesembilan dalam liga dengan 19 mata. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram