Pemain KL City FC dedah kata-kata kesat punca pergaduhan antara Ivan Mamut, Sony Norde dan Romel Morales


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Sekitar aksi perlawanan antara KL City FC menentang Terengganu FC. — Facebook/Terengganu FC

SALAH seorang pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) mendedahkan punca pergaduhan yang berlaku antara tonggak Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut dan penyerang berbisa Warga Kota, Romel Morales adalah berpunca daripada kata-kata kesat yang dikeluarkan oleh pemain Sang Penyu itu.

Insiden yang berlaku di tepi padang itu disebabkan oleh kata-kata kesat yang tidak sepatutnya dikatakan oleh Ivan Mamut terhadap rakan sepasukannya iaitu Sony Norde.

Perkara itu dilaporkan portal media tempatan, 433 Malaysia yang sempat bertanyakan berkaitan insiden yang terjadi antara Ivan Mamut, Sony Norde dan Romel Morales kepada salah seorang pemain The City Boys selepas tamat perlawanan.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 16.34.29

Aksi menarik penjaga gol Warga Kota cuba mengawal gawang pasukannya. — Facebook/Terengganufc

Menurut pemain KL City FC yang enggan didedahkan namanya itu, pergaduhan tersebut adalah berpunca daripada kesilapan pemain Sang Penyu kerana memulakan pergaduhan sehingga mengeluarkan kata-kata kesat kepada Sony Norde selepas tamat perlawanan dalam aksi di Stadium Cheras pada Jumaat.

Perkara itu didengar sendiri oleh Romel Morales yang juga kawan baik kepada Sony Norde kerana pernah bermain bersama ketika mewakili Skuad Melaka United suatu ketika dahulu.

Kejadian itu menyebabkan Romel Morales naik angin dan turut ikut campur dengan niat ingin meleraikan pergaduhan antara kedua pemain TFC tersebut.

Malah, Romel pula yang menjadi mangsa apabila Ivan mula tidak berpuas hati dengan penyerang KL City itu.

"Ivan Mamut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Sony Norde dan Romel Morales cuba masuk campur untuk meleraikan perkara tersebut.

"Namun, tiba-tiba timbul pula rasa tidak puas hati antara Ivan Mamut terhadap Romel Morales," kongsi pemain The City Boys itu.

Bagaimanapun, perkara tersebut sudah diselesaikan antara ketiga-tiga pemain tersebut.

Kejadian yang berlaku itu turut dileraikan oleh Ketua Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak dan dibantu oleh beberapa orang pemain daripada kedua-dua pasukan.

Skuad TFC dan The City Boys hanya berkongsi satu mata selepas terikat dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan ke-16 Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram