KEDAH Darul Aman (KDA) FC pastinya mahu menjadikan kekalahan awal musim kepada lawan sama, PDRM FC sebagai tonik untuk mereka mencatatkan kemenangan di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Dalam aksi yang berlangsung di Utara tanah air pada 4 Mac lalu, skuad Sang Saka Biru berjaya mempertahankan kubu mereka sebaik mungkin.
Pendekatan itu dilihat menjadi apabila skuad Sang Kenari buntu sepanjang perlawanan sebelum jaringan lewat Bruno Suzuki memastikan kemenangan diperolehi PDRM FC.
Jadi, dengan perlawanan pusingan kedua ini, anak-anak buah Nafuzi Zain pasti meletakkan harapan tinggi untuk mencuri semula tiga mata yang dibawa pulang lawan mereka itu sebelum ini.
KDA FC sebelum ini mengalami kekalahan mengejutkan di tangan skuad Sang Saka Biru. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Bagi memastikan misi tersebut berjalan lancar, KDA FC dilihat akan cuba untuk menurunkan pemain baharu mereka, Ifedayo Olusegun yang tidak perlu lagi diperkenalkan namanya.
Selepas memenangi dua gelaran Kasut Emas Liga Super secara berturut-turut, penyerang kelahiran Nigeria itu berstatus ejen bebas sebelum khidmatnya disambar skuad Sang Kenari.
Berkata akan perlawanan berkenaan, Ifedayo mengakui PDRM FC merupakan sebuah pasukan dengan kebolehan bertahan cukup cemerlang seperti mana dapat disaksikan sepanjang musim.
"Mereka mempunyai benteng pertahanan terbaik yang mana kita dapat lihat setiap kali mereka berdepan pasukan-pasukan teratas dalam Liga Super.
"Mereka sangat berdisiplin ketika bertahan, cukup padat dalam benteng yang didirikan. Jadi, kami perlu menghormati kualiti yang mereka miliki," katanya.
Ifedayo sebelum ini diumumkan sebagai penyerang baharu KDA FC pada 27 Jun, iaitu beberapa minggu selepas kelab tersebut kehilangan seorang lagi pemain, Willian Lira. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram