Pejam celik pejam celik, sudah 8 tahun insiden ngeri 'padam' bakat besar Neymar Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Kelibat Rozaimi sering dinanti-nantikan baik di peringkat kelab mahupun negara.

JIKA ditanya penyokong bola sepak tanah air, nama Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin atau Faisal Halim pasti terlintas sekiranya berbincang mengenai bakat bersinar tempatan.

Selain membantu pasukan masing-masing untuk terus mencabar, setiap pemain yang disebut itu juga mempunyai kebolehan yang sukar untuk dibendung setiap kali diturunkan.

Namun, bagi mereka yang lebih lama meminati sukan itu di peringkat domestik, nama Rozaimi Abdul Rahman pastinya sukar untuk dilupakan.

Anak jati Papar, Sabah tersebut memulakan kariernya dengan pasukan muda negara, Harimau Muda A dengan bakatnya mula disedari orang ramai.

Perkembangan tersebut tidak terhenti di situ apabila dia mencetak gol pertamanya dalam Liga Super ketika aksi antara Sabah FA dan Terengganu FA pada 2011.

Tetapi, bakatnya terserlah ketika menyarung jersi skuad kebangsaan di pelbagai peringkat umur, lebih-lebih lagi ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk pasukan Bawah 23 Tahun (B-23).

WhatsApp Image 2023-07-08 at 15.18.04

Rozaimi diangkat sebagai pemain harapan terbaik lebih dari 10 tahun lalu.

Kelincahan ketika menggelecek bola serta kebolehan untuk melakukan rembatan dari jarak jauh merupakan antara aset terbesar pemain itu sehingga membolehkannya menerima Anugerah Pemain Harapan Terbaik pada 2012.

Bakat besarnya di atas padang membolehkannya diletakkan sebagai salah seorang bakat bola sepak terbaik pernah dihasilkan negara dengan dia turut diberi jolokan 'Neymar Malaysia'.

Tetapi, harapan Rozaimi untuk terus berada di kemuncak bola sepak negara tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 7 Julai 2015.

Berdasarkan laporan akhbar terdahulu, karier Penjaring Terbanyak Kejohanan Kelayakan Piala AFC B-22 2012 itu berada dalam bahaya selepas insiden terbabit.

Perkhabaran duka tersebut disampaikan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah, Alijus Sipil yang menyifatkan Rozaimi memerlukan magis untuk kembali ke atas padang.

Kemalangan tersebut difahamkan berlaku di Tuaran, Sabah dengan Rozaimi ketika itu berada di tempat duduk penumpang dalam sebuah Honda Civic yang dipandu sepupunya yang juga seorang pemain bola sepak, Awangku Mohd Farris Mahamud.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 15.14.11

Keadaan kereta yang dinaiki Rozaimi serta sepupunya selepas kemalangan.

Menurut laporan polis, kenderaan tersebut dipanda dengan terlalu laju sebelum hilang kawalan dan melanggar tembok sebuah rumah berhampiran.

Insiden berkenaan menyebabkan Rozaimi mengalami kecederaan serius di kepala, dada dan bahu selain terpaksa dirawat sehingga kira-kira tiga bulan.

Malangnya, bagi Awangku, hentakan yang dialami di kepala dan tubuh badan menyebabkan dia meninggal dunia beberapa jam selepas itu ketika menerima rawatan.

Sejak kemalangan itu, Rozaimi lebih kerap diletakkan dalam skuad simpanan dengan dia pernah menyarung jersi jaguh bola sepak negara, Johor Darul Takzim sebelum berkelana ke Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2021.

Kini, dia diberikan peranan sebagai Penolong Ketua Panel Pemilih dan Pencari Bakat Sabah bagi menghargai bakatnya yang pernah bersinar di Negeri di Bawah Bayu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram