Tomi pilih kasih antara Ivan Mamut dan Jordan Mintah?


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Tomislav (depan, dua dari kanan) ketika aksi Liga Super 2023 menentang KL City FC di Stadium Cheras, KL pada Jumaat. — Facebook/TerengganuFC

PERLAWANAN Terengganu FC menentang Kuala Lumpur City FC pada Jumaat menyaksikan kedua-dua pasukan menampilkan persaingan yang sengit apabila sebanyak enam gol terhasil dalam aksi yang berlangsung di Stadium Cheras, KL.

Meskipun terpaksa berpuas hati dengan sekadar berkongsi satu mata, kedua-dua pasukan ternyata tidak menghampakan peminat bola sepak apabila mereka berjaya memperagakan persembahan bertahap epik melalui keputusan seri 3-3.

Antara yang mencuri tumpuan pastinya keupayaan Terengganu FC untuk bangkit selepas ketinggalan dengan jaringan 3-1 pada separuh masa pertama perlawanan.

Salah seorang arkitek yang membantu menyumbang kebangkitan tersebut ialah penyerang import skuad Sang Penyu, Ivan Mamut menerusi gol penyamaan pada minit ke-59 untuk membolehkan kelab Pantai Timur itu mengikat tuan rumah sehingga ke masa akhir.

347443674_256276280447147_2489257950150345956_n

Mamut (dua dari kanan) ketika aksi menentang KL City FC pada Jumaat. — Facebook/TerengganuFC

Namun, di sebalik jaringannya yang menyelamatkan pasukan, pemain kelahiran Croatia berusia 26 itu turut menimbulkan kontroversi susulan daripada aksinya di luar padang sejurus selepas tamat perlawanan.

Ia selepas Mamut dikatakan menjadi punca yang menimbulkan provokasi sehingga menyebabkan situasi tegang antara dirinya dan beberapa pemain KL City FC.

Sikap dipamerkan penyerang berketinggian 1.92 meter (m) turut menimbulkan rasa tidak senang jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner yang melahirkan kekecewaannya terhadap pemain tersebut.

Dalam sidang media selepas perlawanan, pengendali kelahiran Croatia itu berkata, beliau terkejut dengan tindakan Mamut yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Jelas Tomislav, ini kerana insiden itu bukan kali pertama berlaku melibatkan penyerangnya itu kerana pemain tersebut turut pernah terpalit dengan insiden serupa ketika berdepan JDT sehingga menyebabkan dirinya menerima kad merah.

2154698

Jordan Mintah dalam aksi menentang Sabah FC. — Instagram/jordan_mintah28

Ekoran daripada insiden tersebut, turut melahirkan perasaan kecewa terhadap kejadian itu adalah penyokong skuad Sang Penyu yang berpandangan Mamut perlu dikenakan tindakan lebih keras daripada pihak kejurulatihan.

Pada masa sama, mereka turut mempersoalkan pendirian dan cara Tomislav dalam mengendalikan isu disiplin dalam kalangan pemainnya.

"Setakat tegur je ke? Sayang sangat ke dekat Ivan Mamut? Ke sebab sama negara? Bukankah itu pun masalah disiplin juga? (Kawan Jordan Mintah suruh tanya)," tulis Sahudin Sbk.

"Anak emas. Bagi je Ivan turun ke saingan MFL. Bawa naik Mintah semula," ujar Mohd Abdillah.

"Anak emas. Tegur sahaja, tidak ada pun tindakan gantung ke atau tak bagi main," kata Asraf Asnun.

"Ivan Mamut kan pemain kesayanan fans Terengganu FC. Takkan dia buat onar. Masa lawan JDT bukan main back up," ujar Mohd Suhaili.

Sebelum ini, Jordan Mintah yang merupakan antara penjaring terbanyak skuad Sang Penyu dengan rekod lima gol digugur dari skuad utama selepas dikatakan mempunyai masalah disiplin.

2154696

Terengganu FC gagal mara ke perlawanan akhir Piala FA 2023 selepas tewas di tangan JDT melalui penentuan sepakan penalti 2-4. — Facebook/Terengganu FC

Ia selepas pemain itu difahamkan tidak mahu mengambil sepakan penalti ketika saingan Separuh Akhir Piala FA 2023 menentang JDT pada 25 Jun lalu yang menyaksikan Terengganu FC gagal mara ke final.

Perkara tersebut dipercayai menjadi punca menyebabkan pemain kelahiran Ghana berusia 27 tahun itu diketepikan dalam perlawanan seterusnya ketika saingan liga semasa menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 3 Julai lalu.

Malah, Mintah juga tidak tersenarai dalam skuad Terengganu FC yang bertandang ke gelanggang KL City FC pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram