PERAK FC terlepas peluang untuk mencatatkan kemenangan ketiga mereka dalam Liga Super musim ini selepas sekadar seri ketika berdepan Kelantan United FC.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak pada Jumaat, skuad The Bos Gaurus (TBG) mendahului menerusi tandukan pemain import, Sunday Afolabi pada minit kesembilan.
Meskipun sudah mendahului, pasukan tuan rumah itu tidak berputus asa dalam merencanakan gerakan untuk menguji keutuhan benteng pertahanan skuad Kijang Hijau.
Bagaimanapun, ketiadaan seorang penyerang prolifik menyukarkan skuad kendalian Yusri Che Lah untuk mendapatkan gol kedua perlawanan dengan mereka sering mensia-siakan peluang.
Namun, harapan mereka untuk membawa pulang tiga mata penuh lesap apabila pengadil perlawanan, M Ponnamoorthy mendapati terdapat kekasaran yang dibuat terhadap pemain Kelantan United.
Gol Sunday (kiri) pada minit kesembilan meletakkan skuad TBG di hadapan. — Facebook/Perak FC
Memasuki minit ke-80, pasukan pelawat melancarkan gerakan balas dengan diketuai penyerang baharu mereka, Ismahel Akinade dalam usaha untuk mengikat kedudukan.
Menyedari akan ancaman tersebut, pemain import skuad TBG, Kim Youn-do memilih untuk mengasari pemain berkenaan, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan.
Tetapi, keputusan itu jelas menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemain Perak FC yang mengerumuni Ponnamoorthy bagi mempertikaikan pendiriannya sebagai seorang pengadil profesional.
Ini kerana pemain berpendapat kekasaran itu dilakukan di luar kotak penalti dan pada awalnya pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan percuma sebelum ditukar menjadi sepakan penalti atas nasihat penjaga garisan.
Dengan tindakan tersebut tidak boleh ditarik semula, pemain senior Kelantan United, Indra Putra Mahayuddin tenang menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-84.
Keputusan itu jelas merobek hati ribuan penyokong skuad TBG yang membanjiri stadium tersebut dengan ia menyebabkan Perak FC kekal di tangga ke-11 Liga Super.
Perasaan tersebut juga jelas dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin yang tidak berkecuali untuk mempertikaikan mutu pengadilan bola sepak tempatan.
Dalam satu hantaran di Instagram Ariesham, dia dilihat cukup berang dengan keputusan Ponnamoorthy dengan menganggap usaha kelab tersebut di luar padang dicalarkan olehnya.
"Inilah standard pengadilan bola sepak di Malaysia. Apabila sesebuah pasukan sudah membelanjakan sehingga jutaan ringgit dan keputusan ditentukan keputusan yang tidak tepat.
"Nak tanggung pasukan berjuta-juta, lesen kelab perlu mematuhi peraturan ditetapkan AFC, tetapi pengadil cap ayam," tulisnya sambil menyertakan video di sebalik insiden penalti itu.
Bobie sememangnya cukup dikenali dengan sikapnya yang lantang dalam mengkritik mutu bola sepak tanah air, namun ia penting bagi menaikkan lagi reputasi sukan tersebut di peringkat global.
Ini termasuk apabila dia mempersoalkan kualiti skuad TBG sebelum ini sehingga menjadi bahan bualan hangat dalam kalangan peminat sukan itu dalam negara.
Namun, insiden tersebut pastinya mahu segera dilupakan Perak FC apabila mereka masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan ketika berdepan Kuching City FC pada 16 Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram