PERAK FC masih gagal untuk meraih tiga mata penuh apabila seri 1-1 menentang Kelantan United FC (KUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Jumaat.
Pada aksi tersebut, skuad The Bos Gaurus (TBG) tidak mempunyai masalah untuk mendominasi perlawanan pada babak pertama dengan tuan rumah beraksi garang apabila membuat beberapa percubaan ke atas gawang gol Kijang Hijau.
Buktinya selepas 10 minit perlawanan, tandukan dari tonggak tengah, Sunday Afolabi menerusi tendangan penjuru Luciano Guaycochea memberi kelebihan kepada skuad Seladang untuk meraih gol pertama.
Sepakan sudut yang diperoleh sebanyak lima kali menambah lagi peluang kepada Perak untuk mencuba melakukan serangan di gawang gol anak-anak buah Ailton Silva.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Yusri Che Lah terus melakukan asakan demi asakan di kawasan lawan namun KUFC juga tidak berdiam diri apabila turut membuat percubaan ke gawang yang dijaga Shaheeswaran.
Nasib tidak menyebelahi skuad TBG apabila pasukan Pantai Timur itu diberikan sepakan penalti dan berjaya disempurnakan oleh pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-84.

Afolabi dan Indra Putra menjadi penjaring pada perlawanan di Stadium Perak. — Facebook/PerakFC
Berdasarkan respons orang ramai, mereka berasakan pengadil perlawanan melakukan kesilapan apabila memberikan penalti buat Kelantan United memandangkan mereka melihat kekasaran itu dilakukan di luar kotak penalti.
Walaupun masih gagal menghapuskan badi kekalahan dan kecewa dengan keputusan pengadil, setidak-tidaknya kehadiran import baharu berhasil mengubati kemarahan penyokong TBG.
Dalam perlawanan tersebut, ketenangan pemain import baharu dari Filipina, Jesper Nyholm mendapat pujian dan meletakkan bekas tonggak Muangthong United itu dalam kesebelasan utama adalah keputusan yang tepat.
“Nampak tenang permainannya untuk malam ini,” kata penyokong TBG, Suhairi Ae.
“Tenang dan pandai baca bola. Hantaran pun baik,” tambah seorang lagi penyokong Seladang, Firdaus Yusof.
Manakala, pemain muda Korea Selatan, Kim Youn-do yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua pula mendapat kritikan mengenai persembahan dalam penampilan pertamanya bersama TBG. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
