Mengimbau pasang surut karier Safawi sambil menjawab ghaibnya dia dari JDT


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Orang ramai masih merindui dan mengharapkan agar Safawi mampu mendapatkan semula rentak terbaiknya di atas padang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

BAGI seorang peminat setia bola sepak tanah air, mereka pasti sukar untuk melupakan kelibat pemain sayap negara, Safawi Rasid yang pernah mewarnai sukan tersebut sejak 2015.

Selepas mencipta nama bersama T-Team, bakatnya yang menyinar terus menarik perhatian jaguh Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sebelum dia menyertai kelab berkenaan pada 2017.

Langkah berkenaan jelas menjadi satu titik perubahan buat pemain sayap kelahiran Dungun, Terengganu itu apabila dia terus diangkat sebagai salah seorang jaguh tanah air.

Kelincahan, ketenangan serta personalitinya ketika berada di atas padang menjadi antara ciri-ciri utama di sebalik peningkatan mendadak buatnya.

Tidak cukup dengan itu, kebolehannya untuk menjaringkan gol menerusi situasi bola mati turut meningkatkan namanya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Prestasi konsisten dan membanggakan daripada Safawi itu membolehkannya membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai untuk dua musim berturut-turut, iaitu pada 2018 dan 2019.

41859327_1159540250875939_6801678757347196928_n

Safawi pernah dianggap sebagai anak emas bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Malah, hal berkenaan tidak terhenti di situ apabila namanya juga diangkat setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan dengan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberikannya peranan untuk menjadi kapten pasukan.

Bagaimanapun, sinar tersebut tidak berpanjangan selepas terdapat laporan yang mengatakan terdapat keretakan dari segi hubungan antara Safawi dan pihak pengurusan JDT.

Ini termasuk perbalahan di luar padang dengan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sehingga menjadi bahan bualan hangat orang ramai.

Perkara tersebut berlarutan sehingga menyaksikan Safawi meninggalkan skuad Harimau Selatan untuk berkelana ke sebuah kelab di Portugal, Portimonense SC.

Namun, langkah berkenaan dilihat kurang memberi sebarang impak positif buat pemain sayap itu apabila dia tidak diberikan sebarang minit permainan kompetitif.

Safawi Rasid in his new kit after being unveiled by his new club Portimonense SC on Wednesday. - PHOTO BY PORTIMONENSE

Portimonense pernah menjadi pusat persinggahan buat karier ringkas JDT.

Hal itu menyebabkan dia memilih untuk kembali ke pangkuan JDT memandangkan tiada mana-mana pasukan Liga Super berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya secara sah.

Tetapi, kisah antara Safawi dan jaguh Liga Super sembilan kali berturut-turut itu tidak terhenti di situ apabila tempatnya dalam kesebelasan utama sudah hilang.

Di samping kebolehannya di atas padang semakin terjejas, kebangkitan ikonik pemain muda, Arif Aiman Hanapi menyaksikan Safawi lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

Sebagai contoh, pada 2022, pemain bertubuh kecil itu hanya beraksi sebanyak 13 kali dalam Liga Super dengan hampir keseluruhannya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Peluang yang semakin terhad terbabit menyaksikan dia hanya mampu menjaringkan dua gol serta mencatatkan tiga bantuan jaringan sementara JDT mencatatkan satu musim yang cukup membanggakan.

D4EE7660-0F2F-42AF-8AA0-2B8585F54729 (3)

Safawi mencuba nasib di Thailand bersama Ratchaburi FC. Facebook/Ratchaburi FC

Jadi, dalam usaha untuk mengembalikan semula kebolehannya di atas padang, Safawi memilih untuk mencari angin baharu apabila dia berkelana ke kelab Thailand, Ratchaburi FC pada awal musim lalu.

Pada awalnya, pilihan tersebut dilihat cukup sesuai buatnya apabila dia disambut dengan cukup baik dalam kalangan penyokong skuad The Dragons.

Bagaimanapun, sambutan hangat berkenaan tidak dapat diterjemahkan di atas padang apabila dia hanya menjaringkan satu gol dalam 13 penampilan Liga Thai yang direkodkan.

Sumbangan kurang memberangsangkan itu menyebabkan kelab berkenaan terpaksa berpuas hati apabila menamatkan saingan di tangga kelapan, sekali gus menutup peluang mereka untuk ke pentas Asia.

1850541

Mampukah Safawi mengembalikan prestasinya seperti dahulu? Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, dengan reputasi cukup baik dimiliki Safawi, ia tidak memberi kesan buat pemain berketinggian 1.73 meter itu apabila beberapa pasukan dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sri Pahang FC dan Perak FC merupakan antara segelintir yang disebut-sebut dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air memandangkan mereka cukup tertarik dengan pengalaman serta kebolehan Safawi.

Tidak cukup dengan itu, kesemua pasukan yang dikaitkan dengan penyerang berkenaan seperti memerlukan seorang yang mampu beraksi cemerlang di bahagian sayap di samping segera menyesuaikan diri.

Tetapi, hasrat berkenaan segera terkubur apabila Safawi menyatakan hasratnya untuk kekal di JDT meskipun memahami bahawa tempatnya dalam pasukan semakin tergugat.

Peningkatan konsisten Arif Aiman serta keampuhan deria serangan Fernando Forestieri merupakan antara sebab Safawi terpaksa berpuas hati menyaksikan rakan sepasukannya beraksi di atas padang.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 01.11.37

Safawi dilihat bekerja keras dalam sesi latihan bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, satu lagi persoalan hangat timbul apabila ramai pihak bertanya mengenai kehilangan pemain sayap berkenaan yang masih belum mencatatkan sebarang penampilan sejak pulang ke skuad Harimau Selatan.

Setakat ini, Safawi hanya dilihat ketika berada di sesi latihan kelab, namun dia tidak diturunkan dalam skuad Liga Super mahupun di bangku simpanan.

Perkara itu seperti terus menghantui penyokong bola sepak tanah air, terutamanya dalam kalangan pengikut setia JDT memandangkan mereka semakin merindui kelibat pemain berkenaan.

Namun, jawapan terbaik atas misteri itu adalah kerana dia tidak didaftarkan di bawah nama skuad Harimau Selatan apabila dia meninggalkan kelab tersebut pada separuh pertama musim 2023.

Oleh itu, sekiranya pengikut setia kelab berkenaan mengharap untuk kembali menonton magis Safawi, dia terpaksa menunggu sehingga sekurang-kurangnya pertengahan Julai ini.

Bagaimanapun, situasi itu masih boleh berubah jika pemain berjersi no. 29 terbabit dapat mencari majikan baharu untuk baki musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram