PENANG FC menjadi pasukan terbaharu dalam Liga Super yang mengumumkan kehadiran pemain baharu apabila mereka secara sah sudah mendapatkan khidmat Haziq Puad.
Pemain yang sebelum ini beraksi bersama Perak FC itu dilihat sebagai satu penambahan berkualiti memandangkan skuad Utara tanah air tersebut memerlukan seorang yang berpengalaman.
Tambahan pula, kebolehan Haziq untuk diturunkan sebagai seorang bek tengah mahupun bek sayap menjadikannya sebagai satu rekrut cukup penting buat skuad Harimau Kumbang.
Namun, melihat kepada rekod pertahanan Penang FC setakat separuh musim Liga Super 2023, masih terdapat isu yang perlu diselesaikan sekiranya mereka mahu menamatkan saingan di kedudukan lebih baik.
Haziq Puad diumumkan sebagai rekrut baharu Harimau Kumbang pada Jumaat. — Facebook/Penang FC
Berdasarkan statistik, skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu sudah dibolosi sebanyak 22 kali yang meletakkan mereka di tangga ke-10 liga.
Jadi, dengan jendela perpindahan akan dibuka sehingga 1 Ogos, perubahan perlu dibuat dengan membawa seorang pemain pertahanan berpengalaman serta berkualiti.
Menurut khabar angin di media sosial, salah seorang calon yang dipetik untuk disambar Penang FC ialah bek berusia 29 tahun, Khuzaimi Piee.
Perkara itu berpunca daripada ciapan wartawan terkenal tanah air, T Avineshwaran yang mengatakan kedua-dua kelab sudah menyatakan minat atas perpindahan itu.
Khuzaimi sudah kian kehilangan tempatnya dalam skuad Gergasi Merah. — Instagram/khuzaimipiee
"Ia merupakan salah satu gosip yang perlu diberikan perhatian, tetapi ia masih bergantung kepada pemain itu sendiri. Difahamkan Penang sedang bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya secara pinjaman," katanya.
Sejak menyertai Selangor FC pada awal musim lalu, pemain itu sudah kehilangan tempatnya dalam skuad akibat kecederaan yang dialaminya awal musim lalu.
Hal tersebut sememangnya memberi kesan terhadap karier Khuzaimi memandangkan dia pernah dianggap sebagai salah seorang tonggak penting dalam skuad kebangsaan pada 2022.
Tetapi, akibat masalah kecergasan itu, pemain yang juga dikenali sebagai Jimmy tersebut hanya diturunkan sebanyak enam kali dengan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe lebih gemar untuk meletakkan bek berbeza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram