Diberi peluang wakili negara di Thailand, pengurus Johor Tigris titip pesan semangat buat Emon


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Farhan boleh dianggap sebagai salah seorang tonggak penting buat Johor Tigris untuk STL Emas Annuar 2023/24. — Instagram/Sepak Takraw League

KEJOHANAN Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai 2023 yang bakal berlangsung dari Ahad sehingga 16 Julai pasti akan mencuri tumpuan peminat sukan itu dari seluruh dunia.

Pelbagai acara akan berlangsung dalam pertandingan yang diadakan di Korat, Thailand itu, termasuk berpasukan lelaki dan wanita Divisyen Premier dan berpasukan lelaki Divisyen 1.

Untuk mempersiapkan skuad ke kejohanan berkenaan, skuad lelaki sudah diumumkan dengan seramai 12 pemain dipanggil bagi kategori lelaki.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, majoriti daripada pemain hadir daripada dua kelab Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23, iaitu Perak Bisons dan Kuala Lumpur (KL) Thunder.

Perkara itu dilihat berpunca daripada kedudukan kedua-dua pasukan itu dalam saingan liga ketika ini di samping masing-masing sudah menunjukkan kebolehan dalam posisi tersendiri.

358114503_1006469420702954_2221028530868772473_n

Kesemua pemain dalam kategori lelaki yang dipanggil untuk Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Raja Thai. Facebook/Sepak Takraw Legends

Namun, terselit dalam kalangan senarai pendek pemain itu ialah apit kiri untuk Johor Tigris, Farhan Adam yang diberikan kepercayaan setelah menjadi antara nama besar buat pasukan Selatan tanah air tersebut.

Meskipun usianya sudah mencecah 34 tahun, pemain yang juga dikenali sebagai Emon itu kerap mempamerkan kewibawaannya setiap kali diturunkan.

Jadi, dia pasti diharapkan dapat memberikan satu tonik tambahan buat skuad kebangsaan berdasarkan pengalaman serta kebolehan yang dipamerkan setakat separuh musim STL 2023.

Malah, bagi menghidupkan lagi motivasi buat Farhan, Pengurus Johor Tigris, Ahmad Hasif Mohamed Halim, keputusan pihak pengurusan untuk mendapatkan khidmatnya bukanlah sesuatu keputusan yang mengejutkan.

"Bagi saya Farhan adalah apit kiri yang terbaik dalam Malaysia ni. Jadi, apabila dia dipanggil untuk mewakili negara ke Piala Raja Thai, kami sudah menduga perkara itu," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, untuk mempersiapkan lagi skuad untuk tidak mencicirkan mata dalam saingan STL, pihak kejurulatihan Johor Tigris sudah mencari pengganti di posisi feeder.

Berdasarkan perkongsian Hasif, mereka sudah memberi penekanan terhadap Lutfil Hadi Azim yang dijangka akan turun untuk aksi berdepan Melaka Titans pada Sabtu.

"Saya mengucapkan buat Farhan Adam, selamat maju jaya sepanjang berada di Thailand dalam mewakili Malaysia untuk menentang pasukan Thailand di sana," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram