Tak cukup minit permainan tapi Penang FC, Sri Pahang berbaris rebut khidmat pemain tengah KDA FC


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Mior Dani hanya diturunkan dalam tujuh perlawanan musim ini bersama Kedah. — Instagram/MiorDani

WALAUPUN sudah menandatangani dua tonggak import, Kedah Darul Aman (KDA) FC difahamkan masih bernafsu untuk mendapatkan pemain baharu sempena jendela perpindahan Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang mengatakan bahawa kelabnya akan berusaha untuk mendapatkan kira-kira dua pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan yang bermula awal Julai lalu.

Pada hujung bulan lepas, pihak pengurusan Kedah sah mengikat dua pemain import bagi membantu memperkukuhkan pasukan Sang Kenari iaitu penyerang prolifik, Ifedayo Olusegun dan pemain tengah pertahanan, Moses Atede.

Rentetan daripada kenyataan daripada Daud Bakar untuk membawa masuk pemain baharu lagi, ramai penyokong Hijau Kuning menjangkakan slot tersebut akan diisi dengan pemain tempatan dan secara tidak langsung ada tonggak KDA FC yang mungkin digugurkan atau dipinjamkan ke pasukan lain pada jendela perpindahan ini.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika ada khabar angin mengatakan bahawa tonggak tengah, Mior Dani Armin mungkin tidak berada dalam perancangan Kedah pada baki saingan liga kerana sedang diintai dua pasukan iaitu Penang FC dan Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua Julai ini.

Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak tanah air, T. Avineshwaran menerusi laman Twitter miliknya pada Jumaat.

“Pemain tengah Kedah, Mior Dani Armin sedang menjadi perhatian Pulau Pinang dan Pahang. Mereka berminat untuk membawa pemain itu secara pinjaman,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-07 at 16.55.22-2

Mior Dani ketika beraksi bersama Kelantan pada musim lepas. — Instagram/MiorDani

Jeneral tengah berusia 23 tahun itu tiba di Darul Aman pada awal Januari lalu apabila dipinjamkan selama setahun kepada Sang Kenari musim 2023 selepas mendapat persetujuan dari kelab lamanya TRW Kelantan FC.

Namun tempohnya bersama Kedah tidak bertahan lama apabila Mior Dani sekali lagi dipinjamkan ke pasukan lain dan mungkin ia juga sebagai alternatif untuk memberi peluang kepadanya mengumpul minit permainan.

Sepanjang 15 aksi Liga Super pada awal musim ini, Mior Dani hanya diturunkan dalam tujuh perlawanan dan kesemuanya tampil sebagai pemain gantian, selain mengumpul 100 minit permainan sahaja.

WhatsApp Image 2023-07-07 at 16.55.22-3

Mior Dani sering menjadi kesebelasan utama bersama Tok Gajah pada baki saingan musim lepas. — Instagram/MiorDani

Jika diimbau kembali, pada jendela kedua musim lepas juga, Mior Dani juga dipinjamkan ke pasukan Sri Pahang dari majikannya, The Red Warriors (TRW) dan keputusan itu mengecewakan penyokong Kelantan.

Sekiranya Mior Dani sah dipinjamkan ke Harimau Kumbang ataupun ke Tok Gajah semula, ia adalah kali ketiga arkitek tengah itu beraksi sebagai pemain pinjaman.

Mior Dani antara tonggak utama Kelantan pada saingan Liga Perdana musim lepas kerana sering mempamerkan persembahan berkualiti tinggi sepanjang mewakili TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram