KONFLIK pengurusan dan kewangan yang menyelubungi Kelantan FC sejak awal musim lalu seperti akan menemui jalan penyelesaiannya tidak lama lagi.
Berdasarkan perkongsian pemilik kelab, Norizam Tukiman, beberapa pihak sudah menemuinya bagi membincangkan mengenai proses pengambilalihan yang dijangka akan diselesaikan sebelum tamatnya musim 2023.
Meskipun maklumat di sebalik pertemuan berkenaan tidak diceritakan umum, ia tidak menghalang orang ramai daripada melakukan tanggapan masing-masing mengenai hala tuju kelab Pantai Timur itu.
Ketika ini, khabar angin kuat mengatakan bekas pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City, Vincent Tan sebagai salah seorang calon yang sudah bertemu Norizam.
Ura-ura tersebut timbul selepas usahawan terkenal itu memilih untuk melepaskan sahamnya dengan sebuah pasukan kerdil yang berpangkalan di Belgium, KV Kortijk.
Vida terus dikaitkan sebagai pemilik baharu skuad TRW.
Tidak cukup dengan itu, respons daripada Norizam juga cukup memberangsangkan dengan dia amat mengalu-alukan kehadiran Vincent, namun mengumumkan tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai proses rundingan berkenaan.
Bagaimanapun, khabar angin tersebut tidak terhenti di situ apabila bekas penaja skuad The Red Warriors (TRW), Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida juga sudah melakukan langkah awal.
Menurut laporan media tempatan, pemilik syarikat produk kecantikan itu menyatakan bahawa dia sedia untuk kembali menaung Kelantan FC apabila berasa simpati dengan keadaan kelab itu.
Jelasnya lagi, beberapa perancangan sudah dibuat untuk mengembalikan skuad TRW ke landasan dengan berhasrat untuk membangunkan sebuah pusat latihan baharu selain mendapatkan khidmat pemain berkualiti.
Namun, hasrat berkenaan seperti mempunyai cabaran tersendiri dengan dia berkali-kali berkata, perbincangan lebih lanjut perlu diadakan dengan Norizam mengenai proses-proses terbabit.
Dokumen yang dikongsikan Norizam di Facebook peribadinya pada Jun.
Tetapi, baru-baru ini, sebuah lagi entiti baharu dilaporkan bersedia untuk mengeluarkan kos untuk bergelar pemilik baharu Kelantan FC.
Syarikat gim dan kesihatan, Erfan Gym & Fitness merupakan calon baharu itu dengan pelbagai laporan menyatakan bahawa mereka serius untuk menghidupkan kembali zaman kegemilangan skuad TRW.
Ura-ura berkenaan disahkan Norizam apabila dia berkongsi tangkap layar berkaitan dokumen yang diberikan pemilik syarikat itu serta Vida dalam satu hantaran di Facebook peribadinya.
"Saya ada terima dua tawaran untuk ambil alih Kelantan FC, namun ia hanya perjumpaan awal untuk tunjuk minat sebelum langkah seterusnya.
"Insya-ALLAH, selepas pendaftaran pemain baharu Kelantan FC minggu ini dan ada kelapangan, saya atau wakil akan berjumpa dengan Datuk Vida dan saudara Erfan Akif," tulisnya.
Malah, hasrat tersebut tidak terhenti di situ apabila Norizam, atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sekali lagi memberi perkembangan lanjut mengenai proses rundingan dengan kedua-dua pihak itu.
Erfan Gym & Fitness difahamkan cukup serius dalam proses rundingan dengan pemilik skuad TRW itu. — Facebook/TRW Kelantan FC
Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya pada Sabtu, usahawan kelahiran Johor terbabit mengatakan dia hanya akan melepaskan Kelantan FC jika dokumen-dokumen diperlukan dapat disediakan.
"Ada orang tawarkan nak beli (dengan nilai) RM10 juta. Insya-ALLAH saya akan jual pada saudara Erfan, dia hanya berikan proof of fund untuk buktikan dia benar-benar serius.
"Insya-ALLAH, hari ini saya akan ke Pulau Pinang untuk lihat perlawanan musim kedua dan berjumpa saudara Erfan dan Datuk Vida dalam masa terdekat," katanya.
Sebelum ini, laporan menyebut Kelantan FC diberi hukuman berbentuk sekatan perpindahan yang menghalang kelab berkenaan daripada mendaftarkan pemain baharu.
Namun, berdasarkan perkongsian daripada Norizam, isu tersebut sudah diselesaikan selepas rayuan dibuat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram