
PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan bahawa selain Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau mesra dipanggil Datuk Seri Vida (DSV), seorang individu lagi menunjukkan minat untuk mengambil alih pasukan The Red Warriors (TRW).
Individu yang dimaksudkan ialah pemilik Erfan Gym & Fitness yang turut menyatakan hasrat untuk memiliki pasukan itu dan berniat untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Kelantan FC pada 2012 serta 2013.
Difahamkan, pemilik gim tersebut akan mengadakan satu pertemuan dengan Norizam ataupun lebih mesra dengan panggilan Zamsaham bagi membincangkan masa depan kelab berpangkalan di Pantai Timur tanah air itu.
Info menarik mengenai pemilik gim bernama Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan itu memaklumkan bahawa dia bukan sahaja memiliki pusat kecergasan, malah menjalankan beberapa perniagaan lain seperti lombong emas dan juga kegiatan mengeksport minuman tenaga.
Perkara itu dikongsikan oleh usahawan itu dalam satu kenyataan menerusi TikTok rasmi syarikat tersebut, erfangymkelantan pada Khamis.
Surat daripada Erfan Gym & Fitness turut menyatakan hasrat untuk memiliki TRW.
Namun begitu, berita tersebut kurang disenangi oleh segelintir pengikut Kelantan FC berikutan timbulnya penyebaran dakwaan palsu daripada akaun palsu menggunakan nama Naura Adelia yang mengatakan kononnya pemilik gim itu tidak mempunyai lombong emas atau kedai emas sebaliknya banyak berhutang dengan pelbagai individu.
Tangkap layar perkongsian pengguna Facebook itu malah dikongsikan di laman penyokong The Red Warriors Malaysia: Info Bolasepak TRW Kelantan FC | Malaysia oleh akaun bernama Zul Hafizam yang juga dipercayai penyokong pasukan Kijang Merah tersebut.
"Seeloknya kena siasat dulu bakal pemilik," tulisnya dengan berkongsikan tangkap layar tersebut.
Dakwaan dua individu berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong Kelantan FC tentang nasib kelab tersebut jika diambil alih oleh ahli perniagaan itu dengan alasan faktor kewangan yang kurang kukuh.
Namun dengan situasi semasa Kelantan FC ketika ini yang turut menjadi rebutan Datuk Seri Vida, tidak ada salahnya penyokong memberi opsyen kepada ahli perniagaan lain yang berminat untuk mendapatkan kelab Pantai Timur itu.
Sementara itu, wakil Erfan Gym & Fitness ketika dihubungi Majoriti berkata bahawa pihak syarikat terkilan dengan penyebaran berita palsu tersebut.
"Saya ingin tegaskan bahawa jika masih ada segelintir pihak yang menyebarkan dakwaan palsu tentang pemilik dan perniagaan ini, pihak syarikat tidak akan ragu-ragu untuk ambil tindakan undang-undang kepada yang terlibat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram