SELEPAS beberapa pemain Kelantan FC meninggalkan pasukan itu, giliran Rezal Zambery Yahya pula yang turut angkat kaki.
Rezal yang pernah memegang status sebagai penolong jurulatih The Red Warriors (TRW) itu sah meninggalkan Kelantan FC pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan tersebut. — Twitter/FadhirulS
Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi di laman Twitter yang mengatakan bahawa bekas pemain Negeri Sembilan FC itu meninggalkan kelab secara persetujuan bersama dengan pihak pengurusan.
"Rezal Zambery Yahya ucap selamat tinggal kepada Kelantan FC selepas difahamkan dia telah capai persetujuan bersama dengan pihak pengurusan kelab.
"Rezal yang bersama pasukan itu sejak 2021 merupakan watak penting bawa TRW muncul naib juara Liga Premier 2022," katanya dalam hantaran tersebut.
Tangkap layar Insta Story milik Rezal Zambery. —Instagram/rezalzambery23
Bukan itu sahaja, perkara itu turut disahkan lagi apabila Rezal memuat naik sendiri hantaran penyokong di media sosial Instagram peribadinya dengan disertakan ucapan terima kasih.
"Terima kasih," katanya dalam Insta Story tersebut.
Kenyataan itu memberikan petanda bahawa Rezal sah meninggalkan kelab tersebut selepas pihak pengurusan TRW membawa masuk ketua jurulatih baharu, Angel Alfredo vera yang menggantikan Frank Bernhardt baru-baru ini.
Sebelum ini, Rezal dilantik sebagai penolong jurulatih kepada pengendali San Marino, Marco Ragini pada 2021 dan kemudiannya menggalas tugas sebagai jurulatih interim untuk musim 2022.
Pada musim tersebut, bekas pemain Johor FC itu membantu TRW menjadi naib juara Liga Perdana 2022.
Dalam pada itu, dikhabarkan juga bahawa Rezal Zambery bakal memperkuatkan barisan kejurulatihan Kelantan United FC selepas melantik ketua jurulatih baharu, Ailton Dos Santos yang bertanggungjawab mengemudi KUFC.
Khabar angin itu sememangnya satu tamparan hebat buat pasukan TRW kerana dilihat kemungkinan besar akan terus menghuni tangga terakhir dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram