Suka atau tak, 5 sebab kenapa Arif Aiman jauh lebih 'power' berbanding Luqman Hakim


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Skuad Harimau Selatan dilihat serba lengkap, baik dari segi serangan mahupun pertahanan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DUA hatrik berturut-turut ketika beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan Harimau Malaya jelas membuka mata orang ramai terhadap kualiti pemain sayap, Arif Aiman Hanapi.

Bintang muda JDT itu mampu memberikan saingan kepada pemain senior tanah air sehinggakan ada pemerhati bola sepak menganggap Arif Aiman merupakan legenda dalam pembikinan.

Sejak memulakan kariernya bersama skuad Harimau Selatan pada 2020, nama Arif Aiman terus dijadikan bahan bualan sensasi melihat kepada usianya yang masih muda.

luqman hakim

Kebolehan Arif Aiman di peringkat domestik tidak boleh dipersoalkan lagi. — Agensi

Tambahan pula, kebolehannya untuk beraksi di tahap tertinggi dalam perlawanan-perlawanan getir, seperti ketika pentas akhir Piala FA 2022 juga meningkatkan lagi nilainya.

Sementara itu, seorang lagi pemain muda sebaya Arif Aiman, Luqman Hakim Shamsudin pula mempunyai cerita berbeza apabila penyerang muda kebangsaan itu masih kurang berjaya mencipta nama seperti rakan seperjuangannya di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

Mana tidaknya, selepas Luqman Hakim berhijrah ke pasukan Belgium, KV Kortrijk pada musim 2020, pemain kelahiran Kelantan itu kurang mendapat peluang untuk menunjukkan bakatnya sehinggakan dia dipinjamkan ke kelab Liga Iceland, Njardvik FC pada awal musim ini.

arif aiman h

Luqman Hakim menyumbang dua gol daripada lima perlawanan untuk Yarvik. — Agensi

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut lima sebab mengapa Arif Aiman lebih menyerlah dibandingkan dengan Luqman Hakim.

1) Minit permainan

Bintang muda JDT itu memiliki kelebihan dengan memperolehi 1,519 minit permainan dalam 18 perlawanan berlangsung iaitu Liga Super 2023 dan Piala FA 2023.

Ini kerana, Arif Aiman diberi kepercayaan untuk turun beraksi bersama kesebelasan utama Harimau Selatan dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, berbeza dengan Luqman Hakim yang hanya memiliki 289 minit permainan ketika beraksi bersama kelab Liga Iceland tersebut sebanyak sembilan perlawanan.

2) Kualiti rakan sepasukan

Arif Aiman berada dalam pasukan JDT yang cukup memiliki barisan pemain berpengalaman luas dalam dunia bola sepak tanah air mahupun luar negara kerana pernah bermain di liga besar.

Perkara itu menjadi dorongan kepada anak jati Pahang kerana didedahkan dengan pemain yang cukup berkualiti antaranya Bergson da Silva, Crobin Ong, Fernando Forestieri dan pemain tempatan Safiq Rahim.

Bagaimanapun, Luqman yang beraksi di luar negara iaitu menyertai kelab liga divisyen dua Iceland, iaitu kelab Njardvik FC kini tidak mampu menandingi kelebihan yang ada pada bintang JDT itu berikutan tiada pemain bertaraf bintang dalam pasukan berkenaan.

3) Kualiti kelab masing-masing

Tonggak muda berusia 21 tahun itu berada di bawah pengurusan yang cukup mementingkan kualiti pemain dan pastinya dipercayai mampu melahirkan pemain setaraf ataupun bersaing dengan kelab luar negara.

JDT pastinya diketahui sebuah kelab yang besar di tanah air selain mampu menjadi pencabar utama di Piala AFC.

Selain itu, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berada di kelab yang kurang menyerlah kerana tidak mempunyai bintang dalam pasukan tersebut.

4) Pengalaman peringkat antarabangsa

Arif Aiman mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa iaitu berada dalam senarai skuad Harimau Malaya (HM) ketika perlawanan menentang New Guinea Papua dan kepulauan Solomon baru-baru ini.

Selain menyertai skuad kebangsaan, Arif Aiman turut membantu HM merekodkan hatrik dalam perlawanan antarabangsa menentang New Guinea Papua Jun lepas.

Walaupun Luqman pernah mewakili skuad kebangsaan namun pengalamannya terbatas berikutan dia hanya beraksi bersama pasukan Bawah 23 tahun (B-23)

5) Pembangunan akar umbi

Pemain berketinggian 1.70 meter itu boleh dikatakan sebagai pemain yang digilap bakat ketika berumur masih muda selepas berada dalam akademi JDT.

Walaupun sempat bermain di bawah Akademi Mokhtar Dahari namun pemain yang dipinjamkan daripada kelab Belgium, KV Kortrijk itu tidak meneruskan pembangunannya dalam bola sepak dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram