Kehilangan winger Brazil terbongkar, Jailton Paraiba dedah ada tugas lain bersama The Rhinos


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Pemain sayap Sabah FC, Jailton Paraiba. — Facebook/jailtonparaiba77

MENJELANG jendela perpindahan kedua pada Julai ini, Sabah FC membawa masuk dua tonggak import iaitu pemain dari Brazil, Ramon Machado de Macedo dan bekas sayap kanan Kelantan FC, Miguel Cifuentes.

Penyerang baharu, Ramon Machado mampu membantu mempertajamkan jentera serangan Sang Badak kerana dilihat posisi tersebut masih dalam keadaan yang lemah.

Bekas pemain Kelantan FC, Cifuentes memiliki kelebihan mampu beraksi di beberapa posisi antaranya pertahanan kanan, sayap kanan dan pemain tengah.

WhatsApp Image 2023-07-06 at 11.29.21

Tangkap layar Insta Story Jailton Paraiba. — Facebook/jailtonparaiba77

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir sebelum ini juga mendedahkan bahawa pasukannya berkemungkinan akan menamatkan kontrak beberapa pemain menjelang perpindahan kedua Liga Malaysia.

Ekoran pengumuman CEO tersebut, ramai penyokong mula mempersoalkan nasib pemain kelahiran Brazil, Jailton Paraiba kerana kelibatnya dalam sesi latihan dan ketika aksi menewaskan Kelantan United FC (KUFC), tidak kelihatan.

Bukan itu sahaja, pemain tegap itu juga tidak kelihatan menghadiri aktiviti bonding session skuad Sabah FC di Kundasang, baru-baru ini sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa pemain berusia 32 tahun itu digugurkan.

Namun begitu, kehilangan pemain berketinggian 1.66 meter itu akhirnya terjawab apabila Jailton memuat naik satu hantaran di media sosial Instagram miliknya dengan mengatakan kepada para penyokong bahawa dia dalam keadaan yang baik.

Jailton juga memberi bayangan bahawa masih kekal bersama Sabah FC namun bukan sebagai kesebelasan utama tetapi hanya pemain simpanan pasukan Bawah 23 tahun (B-23).

"Saya datang untuk memberitahu peminat bahawa saya baik-baik saja! Saya terus bekerja keras secara profesional dalam sub 23 dengan perintah di atas saya! Semoga berjumpa lagi nanti," katanya dalam hantaran Instagram tersebut.

Kenyataan menerusi Insta Story Jailton itu secara tidak langsung menjawab persoalan para penyokong mengenai kehilangan pemain yang memiliki tubuh badan yang kecil itu.

Walaupun tidak mempunyai rekod jaringan namun pemain kelahiran Brazil itu mencatatkan lima hantaran bantuan dalam 14 penampilan Liga Super dan mengumpul 831 minit permainan untuk The Rhinos.

Sabah FC berada dalam kedudukan yang selesa carta Liga Super 2023 selepas mengutip 27 mata dalam 15 perlawanan berlangsung. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram