KEMELUT dalaman yang melanda pasukan Pantai Timur, Kelantan FC kini semakin parah apabila dipercayai hanya mempunyai 13 pemain yang menjalani latihan bersama skuad tersebut pada Selasa.
Antara pemain The Red Warrios (TRW) yang memuktamadkan keputusan untuk angkat kaki ialah Farhan Abu Bakar, Rozaimi Rahamat, Afiq Azuan, Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan Carli De Murga selain Miguel Cifuentes yang sudah sah menyarung jersi Sabah FC pada pusingan kedua liga nanti.
Naib juara Liga Perdana musim 2021 nampaknya akan terus kehilangan pemain pada jendela perpindahan kedua pada Julai apabila difahamkan kontrak ketua pasukan, Mario Arques akan tamat pada penghujung Jun ini.
Menerusi Insta Story miliknya, Arques dilihat berjumpa dengan bekas penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas baru-baru ini.
Bercakap kepada Majoriti, Pol Corpas memberi bayangan destinasi baharu Arques jika dia berjaya menyelesaikan beberapa isu bersama Kelantan FC.
"Dia (Arques) ada sedikit isu bersama Kelantan FC dan segala khabar angin yang mengatakan Arques meninggalkan Kelantan masih belum 'sah' lagi.
"Mungkin ada dua pasukan yang bakal disertai Arques iaitu PDRM FC atau pun Perak FC.
"Buat masa sekarang Arques masih belum buat sebarang keputusan kerana mahu bercakap dengan keluarga kerana dia turut menerima tawaran daripada kelab luar negara," katanya pada Majoriti.
Kelab-kelab di Indonesia dan Vietnam menyatakan hasrat ingin melakukan tawaran untuk mendapatkan Arques yang bakal bergelar ejen bebas pada 1 Julai nanti.
Arques tampil dalam 12 perlawanan Liga Super bersama TRW musim ini. — Instagram/Arques
Jurulatih berusia 27 tahun itu turut mendedahkan Miguel Angel Garrido Cifuentes pernah ditolak oleh pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman kerana tidak mempunai kaps bersama skuad kebangsaan.
Ia kerana musim ini Kelantan FC mahu mengambil pemain import yang mempunyai kaps bersama skuad kebangsaan bagi memperkuatkan The Red Warriors (TRW).
"Pada mulanya Norizam tidak mahu Cifuentes menyertai Kelantan FC dan semestinya dia berasa sedih kerana mengetahui yang kelab tidak mahu menggunakan khidmatnya.
"Jadi saya terpaksa 'fight' dengan pihak atasan selama sebulan untuk menyakinkan pengurusan membawa Cifu ke Kelantan.
"Jadi sebab itu bagi saya, Norizam tidak jujur apabila dia kata mahukan Cifu, sedangkan pada awalnya dia tidak mahukan pemain itu.
"Disebabkan isu itu saya kini mempunyai hubungan yang baik dengan Cifu," ujarnya.
Cifu sah menyertai Sabah FC selepas memilih untuk tidak kekal di Kelantan. — Facebook
Tambahnya lagi, dia turut menjadi individu penting bagi perpindahan Cifu ke Sabah kerana semua itu sudah dirancang sebelum beraksi dalam Liga Malaysia.
"Saya bantu Cifu dalam urusan kontrak bersama Sabah FC, kami juga mempunyai hubungan yang baik semasa dia menyertai Kelantan.
"Kami sudah rancang untuk menandatangani selama enam bulan sebelum mencari pasukan yang lebih stabil.
"Bernasib baik Cifu berjaya menandatangi kontrak bersama Sabah FC," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram