"SEHELAI sepinggang dia balik Johor Bharu."
ITULAH situasi yang dialami oleh bekas penjaga gol pasukan Kelantan FC, Rozaimi Rahamat ketika dihalau dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) oleh kelabnya sendiri susulan meminta gaji yang tertunggak.
Disebabkan itu jugalah Rozaimi membuat keputusan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada 18 April lalu, iaitu sehari sebelum perlawanan Kelantan FC menentang Sabah FC dalam aksi pusingan pertama Liga Super 2023.
Isteri bekas penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) II yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Rose itu berkongsi pengalaman pahit suami tercinta dihalang ke perlawanan menentang Sabah susulan meminta haknya sendiri.
“Sebenarnya dia dihalau dari KLIA pasal minta gaji. Dia pergi dengan team dah masuk beg apa semua. Dalam masa yang sama dia minta gaji full tapi tak dapat, hanya dapat RM1,000.
“Selepas kejadian itu dia terus balik rumah. Nasib ada kakak dia di KL (Kuala Lumpur) dengan sehelai sepinggang dia balik JB (Johor Bahru)...beg semua dah ke Sabah...Dahlah waktu itu puasa,” kongsi wanita itu kepada Majoriti.
Kongsi Rose lagi, pemain berusia 27 tahun juga kini sedang dalam proses mengambil tindakan terhadap pemilik kelab Kelantan, Norizam Tukiman susulan memfitnah Rozaimi memboikot aksi menentang Sabah itu.
Walaupun audio perbualan antara Norizam ataupun Zamsaham bersama penjaga gol itu tersebar di media sosial namun usahawan berkenaan masih ingin menegakkan benang yang basah dengan mendakwa Rozaimi memboikot aksi tersebut.
Rose berkongsi foto Rozaimi berjumpa dengan peguamnya pada Selasa. — Ihsan Rose
“Suami saya dah serahkan pada peguam mengenai fitnah yang dilontarkan Encik Zam (Zamsaham) kepada suami saya. Fitnah masa sesi soal jawab Encik Zam bersama dengan penyokong hari itu.
“Suami saya ambil tindakan mengenai fitnah ini sebab benda ini dah menjejaskan karier dia dan pandangan orang pada suami saya. Sekarang masih dalam proses sediakan semua bahan-bahan bukti.
“Sebenarnya suami saya tak nak pun panjangkan benda ini tapi dia dah bagi tempoh sampai Ahad baru-baru ini untuk membuat permohonan maaf tapi sampai sekarang dia (Zamsaham) masih ego. Itu yang suami saya terpaksa ambil jalan ini untuk bersihkan nama dia,” tambahnya.
Selain daripada itu, Rozaimi juga difahamkan masih memperjuangkan tunggakan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melanda pemain dan pegawai Kelantan FC.
Ketika ditanya sama ada wanita itu menghalang suaminya untuk beraksi sebagai pemain bola sepak selepas isu tunggakan gaji tersebut, Rose masih menggangap karier tersebut adalah rezeki Rozaimi.
Rozaimi ketika beraksi bersama JDT II sebelum menyertai Kelantan FC. — Facebook/JDT
Tambahnya, Rozami kini masih tidak mempunyai sebarang tawaran daripada kelab lain dan masih fokus untuk menguruskan isu bersama majikan lamanya.
“Tak pernah halang itu minat dia dan rezeki dia. Sebab saya kenal dia dari sekolah juga memang main bola.
“Suami memamg niat alang-alang keluar dari JDT II nak buat nama. Jauh-jauh datang tapi kebajikan dengan pemain memang out,” ujarnya.
Menurut isteri kepada dua orang anak itu, suaminya juga tidak pernah menyesal membuat keputusan meninggalkan JDT II walaupun mendapat layanan sebegitu rupa daripada pihak pengurusan TRW.
Pada awal Februari ini, Kelantan FC mengikat Rozaimi di posisi penjaga gol dan bersama TRW, pemain itu sudah bermain sebanyak empat perlawanan liga termasuk Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram