PENJAGA gol Kepulauan Solomon, Philip Mango mendapat pujian tidak henti-henti daripada penyokong tanah air selepas menampilkan persembahan cemerlang menentang Harimau Malaya pada aksi persahabatan Tier 1 pada Rabu.
Walaupun negara Ocenia itu tewas 1-4 di tangan skuad kebangsaan namun Mango berhasil memikat hati para penyokong sehingga ada yang berharap agar khidmatnya dapat digunakan beberapa kelab Liga Super.
Bukti kecemerlangan pemain berusia 27 tahun itu dapat dilihat apabila Mango dengan mudahnya menepis beberapa kali percubaan skuad kebangsaan dan menghalang anak-anak buah Kim Pan-gon memperoleh lebih banyak gol.
Apa yang menarik mengenai penjaga gawang berketinggian 177 sentimeter adalah Mango bukanlah seorang pemain profesional di negaranya dan hanya beraksi bersama kelab amatur, Central Coast FC.
Mango bersama rakan pasukan lain Solomon. — Facebook/FAM
Untuk rekod, ketua jurulatih Solomon, Felipe Vega Arango mendedahkan bahawa hanya penyerang, Raphael Le’Ai bergelar pemain profesional dan selebihnya beraksi bersama pasukan amatur di bumi kelahiran mereka.
Dengan persembahan mengagumkan dari Mango, tidak hairanlah jika penyokong kelab masing-masing meminta pasukan mereka cuba untuk membawa masuk pemain itu bagi menjadi benteng terakhir pasukan kesayangan.
Berikut tiga kelab yang sesuai untuk memberi peluang kepada Mango untuk bermain di liga luar negara, sekali gus bergelar pemain profesional.
1) Kelantan FC
Hanya Nik Amin kini menjaga gawang TRW. — Facebook/TRW
Pasukan yang masih tidak selesai dengan masalah dalaman, Kelantan FC berada pada kedudukan bahaya sama ada melibatkan isu prestasi mahupun kejadian luar padang seperi tunggakan gaji.
Namun baru-baru ini, pemilik The Red Warriors (TRW) Norizam Tukiman memaklumkan sudah membayar penuh tunggakan gaji pemain tempatan dan sedang memfokuskan untuk menyelesaikan bayaran gaji bagi pemain import untuk bulan Mei.
Perubahan dilakukan Norizam ataupun Zamsaham menunjukkan usahawan tersebut serius untuk mengembalikan TRW kembali ke landasan yang benar menjelang pusingan kedua Liga Super.
Oleh itu, pastinya Norizam kini memerlukan pemain berkualiti seperti Mango untuk menjadi penjaga gol kedua selepas Farhan Abu Bakara dan Rozaimi Rahamat tidak lagi menyarung jersi TRW susulan kemelut dalaman baru-baru ini.
Kini, pasukan Pantai Timur itu hanya bergantung harap kepada Nik Mohd Amin bin Ahmad untuk menjadi benteng terakhir skuad TRW.
2) Perak FC
Bryan merupakan penjaga gol utama Perak FC. — Facebook/PerakFC
Sembilan kekalahan dialami skuad Perak FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini menunjukkan betapa skuad itu kini berada di bawah tekanan untuk kembali ke prestasi sebenar.
Walaupun kemasukan Yusri Che Lah sebagai jurulatih sementara yang menggantikan Datuk Lim Teong Kim dilakukan namun perubahan itu mengundang keresahan dalam kalangan penyokong yang semakin meragui kredibiliti pengendali tersebut.
Oleh itu, penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) berharap agar pihak pengurusan pula melalukan rombakan pemain dan salah satunya ialah menukar penjaga gol baharu.
Penjaga gol yang ada ketika ini iaitu T. Shaheeswaran dibolosi sebanyak 11 kali, manakala penjaga gawang utama, Bryan See pula bolos sebanyak 21 kali dalam sembilan perlawanan dia diturunkan.
3) Sri Pahang FC
Izham diberi kepercayaan untuk menjaga gawang Sri Pahang. — Facebook/SriPahang
Walaupun berstatus sebagai pemain dari kelab gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) namun Izham Tarmizi dilihat kurang memberi impak besar kepada Sri Pahang dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Seperti baru-baru ini, Izham menjadi mangsa kecaman daripada penyokong apabila membenarkan Negeri Sembilan FC (NSFC) meraih tiga gol mudah pada babak pertama saingan Liga Super, 09 Jun lalu.
Susulan daripada itu, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad bertindak untuk memasukkan Zarif Irfan untuk menggantikan Izham dan hasilnya Sri Pahang menang 4-3 ke atas pasukan Jang.
Jika Tok Gajah mengambil Mango sebagai penjaga gawang, tonggak Solomon itu boleh menjadi penjaga gol kedua dan menaikkan Irfan sebagai tonggak utama menjaga benteng terakhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram