[VIDEO] Safee Sali mahu Arif Aiman lupakan dulu liga Eropah, optimis gol Safawi Rasid boleh menang Puskas


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Arif Aiman dan Safawi merupakan pemain pilihan Kim Pan-gon setiap kali perlawanan antarabangsa diadakan. — Facebook/FAM

PEMAIN sayap muda sensasi negara, Arif Aiman Mohd Hanapi berpotensi untuk bermain di liga bola sepak timur tengah, suatu hari nanti.

Bekas penyerang kebangsaan Safee Sali, secara peribadi berpendapat sekiranya pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu mahu berkelana ke luar negara, dia mungkin lebih sesuai bermain di timur tengah terlebih dahulu berbanding liga Eropah, memandangkan aksi yang lebih kompetitif dan mencabar di sana.

"Mungkin liga di negara Arab or Emiriah Arab Bersatu (UAE) sesuai untuk Arif Aiman melihat kepada potensi beliau. Bagaimanapun dia masih muda, banyak lagi perlu diperbaiki dan perjalanan juga masih panjang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-59, di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Justeru, Safee berpandangan pemain berusia 21 tahun itu, seeloknya kekal bersama JDT terlebih dahulu bagi mengembangkan lagi bakatnya, sebelum benar-benar bersedia beraksi di luar negara.

"Bagi dia masa bersama JDT, kalau dia pergi di luar dengan umur 21 atau 22 tahun takut prestasinya tak akan naik, biar dia bermain dalam JDT dahulu, sebab dalam bola sepak ini pemain ada masanya terlampau cepat naik dan cepat turun,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 18.28.31-2

Arif Aiman meledak hatrik ketika membantu JDT membenam Selangor FC 4-0. — Facebook/JDT

Nama Arif Aiman meniti di bibir peminat bola sepak tempatan, selepas mencipta hatrik ketika membantu JDT membenam Selangor FC 4-0, pada aksi separuh akhir Piala FA, Isnin lepas.

Ia merupakan hatrik kedua pemain itu dalam tempoh enam hari, selepas meledak empat gol ketika membantu Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0, pada aksi persahabatan antarabangsa di Terengganu, baru-baru ini.

Hatrik yang dicipta Arif Aiman ketika menentang ‘Gergasi Merah’ menyaksikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 dan 2022 itu, mengumpul keseluruhan 14 gol musim ini - lima dalam Liga Super, empat (Piala FA) dan lima gol bersama bersama Harimau Malaya.

Tahap kemajuan dan kematangan yang dicapai Arif Aiman ketika ini amat mengagumkan, sehingga beberapa bekas jurulatih dan pengendali pasukan menyifatkan dia sebagai pemain terbaik Asia dalam pembikinan.

Sementara itu, Safee mengakui jaringan cantik oleh Muhammad Safawi Rasid yang menyempurnakan sepakan separuh voli ketika menjaringkan gol ketiga Malaysia, sewaktu menang 4-1 ke atas Kepulauan Solomon pada aksi persahabatan bulan lepas layak diangkat sebagai calon Anugerah Puskas FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia).

FIFA menerusi akaun Twitter pada Sabtu menyenaraikan beberapa calon pada bulan Jun yang mungkin boleh menjadi pencabar untuk Anugerah Puskas FIFA, termasuk jaringan Muhammad Safawi.

Sebelum ini, Mohd Faiz Subri mencipta sensasi apabila muncul pemain bola sepak pertama negara dan juga Asia memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016, selepas menghasilkan gol tendangan percumanya yang dikatakan menentang hukum fizik ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super pada Februari 2016. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram