SIAPA sangka jaringan gol Safawi Rasid didedikasikan khusus untuk isteri, Syifa Melvin yang kini hamil enam bulan pada aksi persahabatan Harimau Malaya menwaskan Kepulauan Solomon 4-1 baru-baru ini akhirnya mencuri perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Jaringan ketiga Harimau Malaya dari Safawi itu disudahkan dengan percubaan volley kaki kiri dan dianggap berkelayakan untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas FIFA bersama beberapa lagi jaringan dari pemain dari neagra lain.
Menerusi akaun Twitternya, badan induk bola sepak dunia itu berkongsi video jaringan pemain kelahiran Terengganu itu sambil memuji dengan ciapan ‘Kemahiran yang mengagumkan daripada pemain Malaysia, Safawi Rasid’.
Sekiranya tonggak Johor Darul Takzim (JDT) itu memenangi anugerah berpresti tersebut, Safawi akan menjadi pemain kedua tanah air memenangi Anugerah Puskas FIFA selepas bekas pemain Penang FC, Mohd Faiz Subri pada 2016.
Faiz Subri mencipta sensasi apabila muncul pemain bola sepak pertama negara dan juga Asia memenangi Anugerah Puskas selepas menghasilkan gol tendangan percumanya untuk Pulau Pinang pada 2016 yang dikatakan menentang hukum fizik.
Namun, hakikatnya Safawi bukan juga pemain pertama yang tercalon untuk Puskas selepas Faiz Subri berikutan terdapat tiga pemain yang beraksi dalam liga domestik yang pernah tercalon untuk anugerah tersebut.
2) Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan FC)
Sean menjaringkan gol jarak jauh ketika perlawanan Liga Super menentang Selangor pada 31 Julai 2022. — Facebook/NSFC
Tahun pertama Sean Eugene Selvaraj bersama Negeri Sembilan menjadi lebih indah apabila jaringan golnya mencuri perhatian FIFA dan malah berhasil merobek gawang bekas majikannya, Selangor FC.
Ketika aksi ke-14 Liga Super musim 2022 menentang Gergasi Merah, Sean Selvaraj berhasil mencetak satu jaringan pada minit ke-88 dan sekali gus membantu Negeri Sembilan meraih kemenangan 3-2.
Gol yang dijaringkan Sean dengan rembatan jauh itu dan dengan mudah menewaskan penjaga gol Selangor, Samuel Somerville mendapat perhatian seluruh dunia, termasuk FIFA yang turut berkongsi jaringan itu di media sosialnya.
Meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencalonkan gol pemain berusia 27 tahun itu kepada FIFA untuk Anugerah Puskas namun rezeki tidak memihak kepada Sean Selvaraj.
3) Park Tae-su (Sabah FC)
Tae-su meraikan jaringan menariknya bersama rakan sepasukan. — Facebook/SabahFC
Pemain yang sudah merekodkan 100 penampilan bersama Sabah FC, Park Tae-su diam-diam pernah menggegarkan Liga Malaysia (Liga M) apabila jaringan memukaunya menarik perhatian FIFA.
“Tepukan buat Park Tae-su! Jaringan roket dari jarak 40 ela yang terkena palang sebelum memasuki gawang.
“Gol yang terpahat dalam buku sejarah Sabah FC,” puji FIFA dalam Twitter sambil memuat naik video Taesu menjaringkan gol buat The Rhinos pada saingan Piala Malaysia.
Gol roket dari pemain Korea Selatan itu bukan sahaja menjadi bualan penyokong, malah membantu membantu Sabah mengikat Petaling Jaya FC 1-1 dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia pada musim 2021.
Namun jaringan cantik Tae-su masih tidak dapat mengalahkan gol dari pemain Argentina, Erik Lamela yang ketika itu memenangi Puskas menerusi jaringannya untuk Tottenham Hotspur ketika menentang Arsenal.
3) Syahmi Safari (Harimau Malaya)
Syahmi dalam perlawanan Piala AFF di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand. — Agensi
Walaupun namanya semakin tenggelam dalam arena bola sepak domestik namun hakikat jaringan bek kanan kebangsaan, Syahmi Safari pernah menjadi bualan orang ramai tidak dapat dilupakan.
Pertahanan Harimau Selatan itu pernah dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA, selepas jaringan menariknya dalam kempen Piala AFF 2018 menentang Thailand mendapat pujian orang ramai.
Rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang dilakukan bekas pemain Selangor itu mengejutkan penyokong Thailand yang tidak menyangka percubaan itu tepat menuju ke penjuru atas kanan gawang mereka.
Namun, ia gagal menewaskan gol lencongan dari tonggak Liverpool ketika menentang Everton dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram