Bojan cabar City Boys tutup mulut pengkritik lawan JDT


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Bojan dalam perancangan untuk mengelakkan ulangan ‘bencana’ ketika bertemu JDT nanti.

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

KEPADA Bojan Hodak, pemain-pemain Kuala Lumpur City (KLC) FC di bawah asuhannya, tidak pun perlu melihat lebih jauh daripada penjaga gol berusia 21 tahun mereka, Azim Al Amin Kamaruddin, untuk mendapatkan motivasi dan mencabar diri sendiri.

Ditampilkan kali pertama ketika menyingkirkan Imigresen FC dalam aksi awal Piala FA pada 14 April dan kemudian mengambil alih daripada kedua-dua Kevin Mendoza dan Azri Ghani yang cedera, bermula dengan kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Kuantan, Pahang pada 4 Jun, tempatnya tidak lagi mampu diganggu gugat.

“Budak ini masih terlalu muda tapi lihatlah dia memiliki semangat dan cita-cita besar. Daripada asalnya sebagai penjaga gol ketiga, hari ini dia menjadikan posisi penjaga gol pilihan nombor satu pasukan sebagai miliknya.

“Anda mungkin melihat penampilannya kerana dia bernasib baik. Tapi dia telah menunjukkan yang dia benar-benar menghargai peluang yang diberikan kepadanya untuk terus meyakinkan saya agar mengekalkannya,” kongsi ketua jurulatih KLC FC itu dengan Laptop Cabuk.

Azim (tengah) menjadi wira KL City selepas menepis dua sepakan penalti oleh pemain Terengganu FC. Facebook/KL City FC

Kecuali tewas kepada sepakan penalti Stefano Brundo pada minit ke-57 di Kuantan itu, Azim menyerlahkan ketangkasannya, termasuk menggagalkan situasi satu lawan satu dengan Zuhair Aizat Mohd Nazri, 10 minit kemudian untuk KLC FC pulang dengan kemenangan 2-1.

Aksi separuh akhir Piala FA dengan Terengganu FC di tempat lawan 25 Jun lalu terus menjulang namanya apabila dia menyelamatkan dua sepakan penalti Nik Shareef Haseefy Mohd Lazim dan Liridon Krasniqi untuk KLC FC meraih hak dalam perlawanan akhir.

Menjelang aksi liga berdepan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Isnin, Bojan menuntut pemain-pemainnya menyerlahkan semangat dan keberanian seperti dimiliki oleh Azim untuk menidakkan ramalan dengan mendapatkan keputusan positif.

Hakikat bahawa skuad Warga Kota itu akan tanpa lima pemain – Giancarlo Gallifuoco, Sebastian Avanzini dan Ryan Lambert digantung manakala Declan Lambert dan Mendoza belum pulih – tidak memesongkan ketua jurulatih itu daripada tanggungjawab profesional mereka.

Komen-komen sinis di media sosial, antaranya KLC FC akan memberi ‘walkover’ (laluan mudah) buat lawan dan kemungkinan mereka akan menjadi mangsa belasahan Harimau Selatan turut ditepisnya sebagai nakal dan tidak memberi sebarang kesan.

Walkover? No way,” tegasnya. “Kami tidak akan sekali-kali melakukan perkara seperti itu. Kami tidak akan mengalah dengan mudah, sebaliknya pemain-pemain saya akan berhabis-habisan untuk kami mengikhtiarkan satu keputusan yang positif.

“Ada yang berasakan kami terpaksa menurunkan pasukan kedua dengan mengambil kira situasi yang ada. Itu juga tidak akan berlaku kerana KLC masih memiliki cukup pemain untuk memberi cabaran kepada JDT di tempat mereka,” katanya.

Pemain KL City menyambut keriangan selepas berjaya mara ke pentas akhir Piala FA 2023. Facebook/KL City FC

Sekali lagi Bojan menjadikan Azim sebagai model yang patut dicontohi tanpa pemain-pemain boleh mengada-adakan alasan di sebalik final Piala FA berdepan lawan yang sama di SSI pada 22 Julai nanti mungkin lebih menjadi fokus mereka.

Mengandaikan penjaga gol muda itu mungkin tidak pernah bermimpi untuk berada di tempatnya hari ini, katanya, pemain-pemain lain perlu turut berterima kasih diberikan peluang untuk mengukur keupayaan mereka dengan lawan yang hebat.

“Kami mempunyai 25 pemain yang didaftarkan. Mereka semuanya profesional dan kerana itu, mereka hendaklah menghormati kontrak masing-masing. Saya mahu mereka gunakan peluang ini untuk meyakinkan saya yang mereka cukup bagus untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Memandingkan skuadnya yang tewas 0-3 kepada JDT di Stadium Bola Sepak Cheras pada 1 Mac lalu dengan barisan terkini, Bojan percaya mereka sudah menunjukkan peningkatan untuk berada di tangga keenam dengan 23 mata dan cuma kalah tiga kali.

"Agak malang kami akan ketiadaan lima pemain dalam kunjungan ke Iskandar Puteri kali ini tapi kami juga tiada pilihan disebabkan kecederaan dan penggantungan.

"Yang bagusnya saya tidak berasa sebarang tekanan kerana kami tidak akan kerugian apa-apa tapi pada masa yang sama, kami tidak akan membiarkan dibelasah sewenang-wenangnya," tambahnya.

Sebagai rekod, KLC FC dalam kunjungan terakhir ke SSI pada 1 Ogos 2022 tewas 0-5 kepada jaringan Bergson Da Silva (2), Leandro Velazquez, Fernando Forestieri dan Safawi Rasid dalam aksi berat sebelah yang menyaksikan tuan rumah itu dianugerah dua sepakan penalti.

Bojan, dalam perancangan mengelakkan ulangan ‘bencana’ seperti itu, membayangkan mereka tidak akan mencontohi Selangor FC dengan permainan terbukanya hingga kesudahannya dibolosi empat kali – termasuk hatrik Arif Aiman Hanapi – dalam separuh akhir Piala FA pada 26 Jun.

"Saya menonton semua perlawanan membabitkan JDT dan semua pasukan ada kekuatan dan kelemahan. Sangat sukar untuk mengalahkan mereka di tempat mereka sendiri tapi saya ada perancangan khusus buat pemain-pemain saya,” katanya.

"Seperkara yang barangkali menyedapkan sedikit hati Bojan ialah kesedaran pemain-pemain yang aksi mereka menghadapi JDT akan menjadi kayu pengukur sama ada mereka akan dikekalkan dalam kesebelasan ketika final kurang tiga minggu lagi.

Padanya, JDT juga mungkin mahu menyembunyikan sesuatu daripada mendedahkan semuanya dalam pertemuan malam esok.

"Mereka harus tidak akan memandang rendah terhadap kami,” katanya enggan menghiraukan ramalan dan komen-komen netizen yang memihak kepada tuan rumah itu.

"Saya tak mahu tahu apa kata mereka. Saya akan hidup lebih lama tanpa terkesan dengan mereka." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram