PEMBANGUNAN bola sepak di peringkat amatur semakin giat hari ini dengan lebih ramai pihak berminat untuk mencari bakat tempatan di samping melibatkan diri dalam gaya hidup sihat.
Perkara itu dilihat mula dibangunkan di hampir kesemua negeri sehingga terdapat liga yang dianjurkan bagi memastikan kesemua perlawanan yang diadakan berjalan lancar.
Ini termasuk Liga PMX yang diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang dengan ia diterajui Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri, Fahmi Zainol.
Bagaimanapun, baru-baru ini, pertandingan kecil-kecilan tersebut terpalit dengan kontroversi apabila salah satu peserta, Perda Diamond FC berasakan terdapat ketidakadilan dalam kalangan pihak penganjur.
Menurut perkongsian di laman Facebook persatuan Perda Family, mereka menyatakan bahawa kemaraan pasukan ke peringkat akhir Liga PMX dibatalkan tanpa sebarang penjelasan.
Keputusan perlawanan separuh akhir pada 24 Jun yang memihak kepada Perda Diamond FC ke perlawanan akhir dibatalkan kelayakan mereka oleh pihak penganjur tanpa sebarang makluman, perbincangan dan juga penjelasan.
Perda Diamonds FC menempah tiket ke final Piala PMX selepas menundukkan Kepala Timun FC. — Facebook/Soccer_malaya
"Keputusan tersebut diterima selepas tiga hari tamat perlawanan serta penganjur membuat keputusan tanpa perbincangan dua hala. Keputusan dibuat adalah tidak adil dan tidak wajar," katanya.
Perkara berkenaan jelas mengundang perhatian ramai yang mahu jawapan diberikan memandangkan ia dikhuatiri hanya akan mencalarkan reputasi bola sepak amatur.
Menjelaskan akan perkara itu, Fahmi berkata, penyingkiran tersebut dibuat berikutan keputusan Perda Diamonds FC untuk menurunkan pemain tidak berdaftar dalam aksi separuh akhir menentang Kepala Timun FC.
Hal tersebut diumumkan menerusi satu surat yang dihantar kepada Pengurus Perda Diamond FC, Yusri Mohd Daud pada 6 Julai dengan menyatakan kelab tersebut sudah melanggar peraturan pertandingan.
"Pada hari kejadian, pemain yang berdaftar hadir dengan jumlah yang mencukupi, iaitu minimum lapan orang, secara tidak langsung pemain tidak berdaftar tidak dibenarkan bermain.
"Walaupun begitu, nama yang didaftarkan juga adalah pengundi Kepala Batas dan tidak memenuhi syarat (iaitu mestilah pengundi P44 - Permatang Pauh," tulisnya.
Jawapan pihak penganjur Piala PMX kepada pihak pengurusan Perda Diamonds FC. — Facebook/Fahmi Zainol
Bagaimanapun, konflik antara kedua-dua pihak tidak terhenti di situ apabila Perda Diamonds menyatakan pengesahan sudah dibuat sebelum pemain tidak berdaftar berkenaan diturunkan.
Pengesahan yang diberikan oleh En Abdul Mukmin selaku Jawatankuasa Teknikal & Pertandingan sebelum sepak mula kepada pengurus pasukan Perda Diamond Fc telah dipersetujui terlebih dahulu sebelum pemain tersebut diturunkan.
"Selepas tamat perlawanan, pihak penganjur juga telah berjumpa dengan pengurus serta pemain tersebut dan mengesahkan kemenangan tersebut," tulisnya.
Jelas persatuan itu lagi, mereka turut berharap agar perlawanan akhir yang bakal diadakan pada Ahad akan ditangguhkan supaya penilaian semula dapat dibuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram