Wak Am buat hal lagi, aksi spontan curi tumpuan ketika Sabah FC benam Kelantan United


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Sekitar aksi perlawanan Sang Badak menundukkan Sang Kijang Hijau dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/ MFL

SABAH FC kembali menemukan rentak kemenangan sekali gus menamatkan badi kekalahan dua kali berturut-turut untuk menghidupkan peluang bersaing dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super 2023.

Dalam perlawanan yang ke-15 saingan Liga Super, skuad Sabah FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh apabila menang mudah menentang Kelantan United FC (KUFC) dengan keputusan 3-0 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Isnin.

Ini kerana, kemunculan semula pemain sayap kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani membuka ruang kepada jentera serangan Sang Badak untuk merobek benteng pertahanan Sang Kijang Hijau.

Kehadirannya terbukti penting buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila pemain sayap berusia 24 tahun itu membuka tirai jaringan pada minit ke-22 meletakkan The Rhinos sebagai pendahulu perlawanan.

Tidak lama selepas itu, pemain tengah Sang Badak, Stuart Wilkin menambah derita Kijang Hijau dengan gol kedua pada minit ke-45+1 sebelum gol Baddrol Bakhtiar melengkapkan kemenangan bergaya buat Sabah FC menerusi jaringan ketiga pada minit ke-62.

Namun di sebalik kemenangan bergaya itu, timbul insiden 'jari tengah' yang dicetuskan pemain veteran Sabah FC, Amri Yahya atau dikenali Wak Am yang diturunkan pada minit-minit terakhir perlawanan.

Difahamkan, perkara itu berlaku selepas bekas pemain legenda Selangor FC mendapati bahawa dirinya berada dalam kedudukan ofsaid dan secara spontan menunjukkan isyarat lucah ke arah luar padang.

Bagaimanpun tidak pasti kepada siapa Amri menunjukkan isyarat itu sama ada kepada barisan kejurulatihan pasukan Sabah FC atau pengadil perlawanan.

Walaupun tindakan pemain berusia 42 tahun itu dianggap sebagai gurauan, namun ada penyokong yang berasakan pemain profesional sepertinya tidak patut menunjukkan contoh yang tidak baik, apatah lagi ketika perlawanan itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

"Wak Amri, awak sudah hampir suku usia warga emas, buatlah perangai elok sikit selaku pemain pro amatur, bagilah contoh terbaik sama pemain muda Sabah FC," kata MerZuki Zuki.

"Astaghfirullah, kasi duduk saja lah dia di bangku simpanan.Tiada disiplin," kata Md Othman Yunus.

Sebelum ini, Amri Yahya pernah terpalit kontroversi apabila dilihat 'menganjing' bintang muda Harimau Malaya, Faisal Halim ketika Sabah FC menundukkan Selangor FC dengan keputusan 2-1.

Kejadian itu berlaku dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas pada 27 April lepas.

Kontroversi itu tercetus apabila Wak Am dilihat sengaja memerli Faisal dengan membuat aksi 'siu' yang lebih sinonim kepada bintang Selangor FC itu setiap kali menjaringkan gol.

Bagaimanapun, isu itu selesai beberapa hari kemudian apabila Amri tampil menjernihkan keadaan supaya perkara tersebut tidak lagi diperbesar-besar oleh penyokong kedua-dua kelab.

Di Instagram @ratu_amri, Amri memuat naik foto dia dan Faisal berpelukan di tepi padang selepas perlawanan tamat.

Amri turut memuat naik ucapan selamat hari raya, maaf zahir batin dan tanda pagar 'tenang is good' di hantaran berkenaan.

Sabah FC kekal berada tangga kelima carta Liga Super 2023 dengan mengutip 27 mata sepanjang 15 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram