'Kita serah gelaran juara kepada Lions XII', Sathianathan pernah 'mengamuk' kalah lawan 12 pemain


  • Podium
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Sekitar aksi perlawanan antara ATM menentang Selangor FC yang menyaksikan pasukan itu tewas 1-2 di Stadium Shah Alam pada 2013.

SEPULUH tahun lalu, Liga Malaysia (Liga-M) pernah dimeriahkan dengan kehadiran pasukan daripada Singapura, Lions XII sebagai jemputan untuk turut bersama bersaing dalam perlawanan Liga Super 2013.

Skuad yang berpangkalan di Singapura itu menjuarai Liga Super musim 2013 dan kehebatan pasukan itu tidak boleh disangkal oleh kelab lain yang turut bersaing dalam perlawanan itu kerana memiliki barisan pemain yang cukup padu.

Seperti yang diketahui, saingan Liga Super 2013 dimonopoli oleh pasukan yang terkuat antaranya Lions XII, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Selangor FA.

Namun, di sebalik kisah kemenangan bersejarah itu, muncul kontroversi antara pasukan ATM dan Selangor FC yang dilihat sebagai pasukan yang cukup mantap ketika itu.

Ini kerana, Ketua Jurulatih, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika itu, B Sathianathan tidak berjaya memburu kejuaraan Liga Super selepas ditewaskan Selangor 1-2 di Stadium Shah Alam pada 2013.

Difahamkan, peluang ATM untuk memenangi perlawanan itu mengalami tamparan hebat selepas penyerang berbisa, Marlon James dikeluarkan padang pada minit ke-34.

Tidak lama selepas itu, Gergasi Merah mengambil kesempatan untuk terus mendahului menerusi jaringan Amri Yahyah pada minit ke-45.

Bagaimanapun, Bruno Martelotto menyamakan kedudukan untuk skuad The Gladiator dua minit kemudian daripada sepakan penalti.

WhatsApp Image 2023-06-23 at 14.11.11

Aksi pemain ATM, Marlon Alex James (tengah).

Maestro tengah, K. Gurusamy muncul wira untuk pasukan Lembah Klang pada minit ke-91 selepas dia melakukan tendangan percuma untuk memberikan Selangor mata kemenangan dalam perlawanan yang sengit itu.

Walaupun sebuah pasukan yang digeruni ketika itu, The Forces yang berada di tempat ketiga ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Lions XII yang mempunyai 39 mata selepas 19 perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, jurulatih ATM melancarkan serangan ke atas persembahan pengadil Shamsuddin Ibrahim apabila memfailkan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sathianathan nyata memang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dalam perlawanan tersebut.

Sejurus perlawanan itu, pengendali ATM itu mengumumkan bahawa pihak mereka menggunakan saluran yang betul dengan menulis surat aduan kepada FAM.

Dalam perlawanan yang berlaku 10 tahun lepas, Sathianathan itu turut memaklumkan bahawa pasukan mereka hanya bermain seramai 10 orang terpaksa menentang 12 orang pemain termasuk penyokong Selangor di Stadium Shah Alam.

Jelasnya ketika itu, beberapa keputusan pengadil menimbulkan keraguan seperti layangan kad kuning kedua kepada Marlon James.

Selain itu, pengendali Selangor FC, Irfan Bakti pula tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun kekal di tangga keempat dengan 33 mata.

Bagaimanapun, Irfan sangat tidak berpuas hati dengan persembahan yang kurang memuaskan daripada pemain sayap S. Kunalan.

“Kunalan mempunyai kepantasan tetapi tiada bakat. Dia perlu memperbaiki diri.

“Kami juga tidak cukup kuat dari segi mental. Kami terlalu bersemangat dan terlalu bercita-cita tinggi. Hantaran terakhir kita masih belum cukup,” keluh Irfan.

Ketika itu, penyerang Francis Doe kembali untuk perlawanan seterusnya yang mana Selangor menentang PKNS selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.

Skuad The Forces memiliki senjata yang cukup tajam sebagai penyudah skuad iaitu Marlon James dengan merekodkan 16 jaringan dalam saingan Liga Super 2013.

ATM FA hanyalah sebuah memori manis buat penyokong bola sepak tempatan dengan mereka kini hanya beraksi secara amatur di Liga M3.

Kini, kancah bola sepak tanah air dikuasai oleh pasukan gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) kerana mempunyai barisan pemain yang cukup berbahaya dan mampu menggerunkan pihak lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram