Insiden 'walk-out' jadi detik hitam perlawanan akhir Liga FAS


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Sekitar aksi menarik antara Klang Gate menentang Megah Murni pada Jun 2013.

LIGA Malaysia (Liga M) tidak pernah sunyi daripada kontroversi keputusan pengadil sejak sekian lamanya.

Lihat saja bagaimana beberapa keputusan pada musim ini yang menjadi perbualan penyokong walaupun taraf Liga M sudah memasuki era profesional puluhan tahun lagi.

Mungkin dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan sistem bantuan pengadil (VAR) pada musim depan dapat meredakan kegusaran kelab dan peminat terhadap kualiti mutu pengadilan.

Jika diimbas kembali, mutu pengadilan bukan saja mewarnai kejohanan bertaraf profesional tetapi pertandingan amatur juga terpalit dengan kontroversi yang sama.

Itu yang berlaku pada 10 tahun lepas apabila pasukan Klang Gate yang menyertai Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan protes luar jangka, sekali gus menandakan detik hitam terhadap kancah bola sepak negeri tersebut.

Insiden itu berlaku ketika kelab amatur itu menentang pasukan Megah Murni dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang SUK di Shah Alam pada 14 Jun 2013.

Kekecohan bermula apabila pemain Klang Gate tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil bertugas ketika itu, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohamad kerana memberikan kad kuning kedua kepada Khairil Zufree Zakaria pada minit ke-55.

Sebelum itu, Khairil Zufree dilayangkan kad kuning pada minit ke-42 selepas terlibat dalam terjahan dengan pemain Megah Murni B. Murugan yang turut dikeluarkan dari padang akibat kecederaan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Tuan Mohd Yaasin, pemain dan pegawai Klang Gate bersemuka dengan pengadil dan membantah keputusan tersebut.

Malah mereka bertindak keluar padang sebagai tanda protes walaupun cuba dipujuk pesuruhjaya perlawanan serta pegawai dari FAS untuk meneruskan perlawanan.

Namun pegawai dan pemain dari Klang Gate tetap berkeras mahu memboikot perlawanan sehingga memaksa pengadil memutuskan untuk membatalkan perlawanan ketika Megah Murni sedang mendahului dengan keputusan 3-1.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 23.54.05

Pasukan bola sepak Klang Gate masih aktif secara amatur ketika ini.

Timbalan pengerusi jawatankuasa pertandingan FAS pada ketika itu, Datuk S. Sivasundram berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku dalam perlawanan akhir liga anjuran FAS.

Mengikut peraturan pertandingan, mana-mana pasukan yang keluar akan dikenakan tindakan disiplin manakala lawan mereka akan diberikan kemenangan 3-0.

Hasil keputusan jawatankuasa pertandingan memberikan kemenangan kepada Megah Murni pada musim tersebut manakala Klang Gate dikenakan denda sebanyak RM1,000.

Berdasarkan semakan, Klang Gate masih tersenarai dalam Liga Bahagian 1 FAS pada musim 2022 manakala pencarian kelab Megah Murni tidak menemukan sebarang rekod sama ada masih aktif atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram