PENYERANG Terengganu FC, Engku Nur Shakir mengakui jentera serangan pasukan perlu lebih tajam dalam misi memburu kemenangan ke atas Kuala Lumpur City FC, pada Jumaat
Secara peribadi, pemain berusia 25 tahun itu merasakan satu gol yang berjaya diraihnya pada Isnin lalu menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) belum memuaskan dan salah satu faktor adalah ketiadaan tonggak import seperti Ivan Mamut, Argzim Redzovic dan Jordan Mintah pada perlawanan tersebut, lapor Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Meskipun satu jaringan itu berjaya memberi kemenangan kepada mereka, kelemahan ketara dapat dilihat dari aspek serangan yang gagal untuk mencuri peluang terbaik menambah jaringan sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

Kesebelasan utama Terengganu FC ketika berdepan KDA FC pada Isnin. — Facebook/TFC
Justeru, Shakir percaya kekuatan pasukan akan bertambah selepas ini terutama dalam misi untuk membalas dendam ke atas skuad kendalian Bojan Hodak selepas mereka tewas di separuh akhir Piala FA minggu lalu.
"Kalau nak ikutkan keputusan sebelum ini waktu kami kalah dengan Kuala Lumpur di separuh akhir, memang kami nak balas dendam balik untuk meraih kemenangan.
"InsyaALLAH kami akan buat yang terbaik kali ini untuk menewaskan lawan sebab kalau tengok dari segi permainan kami, kelemahan ketara mungkin di bahagian serangan.
"Kita pun tahu tiada pemain seperti Ivan, Jordan dan Argzim waktu itu, jadi nampak tempang sedikit, tetapi apa pun saya percaya kami mampu untuk lebih aggresif selepas ini", jelasnya.
Shakir semakin berjaya menambat hati pengendalinya, Tomislav Steinbruckner apabila diberi kepercayaan untuk memperkuatkan bahagian serangan dalam beberapa perlawanan setakat ini.
Namun, dengan dua jaringan yang berjaya diperolehnya setakat ini di pentas Liga Super masih belum memuaskan hatinya untuk terus bekerja keras membarisi kesebelasan utama.
"Sebelum ini memang agak gugup juga, tetapi apabila dah berjaya jaringkan gol dan bantu pasukan untuk menang, tahap keyakinan saya semakin tinggi.
"Bagi saya, prestasi sekarang ini masih belum cukup lagi untuk saya dan saya kena cuba lebih kuat mengekalkan prestasi terbaik dalam aksi akan datang”, katanya.
Kemenangan Terengganu FC ke atas KDA FC meletakkan mereka di kedudukan keenam Liga Super dengan 23 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
