Sukar untuk dilupakan, 2 nama hero lokal pernah bantu JDT julang Piala FA


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jul 2023

JDT merangkul kejuaraan sulung Piala FA pada 2016. — Agensi

STADIUM Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air pada 22 Julai ini apabila ia bakal menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi final Piala FA 2022.

Di atas kertas, skuad Harimau Selatan dilihat merupakan pasukan pilihan untuk merangkul trofi berprestij itu pada tahun ini.

Ramalan itu berdasarkan kepada prestasi semasa pasukan JDT yang mencatatkan rekod menggerunkan pada musim ini apabila berjaya menang dalam kesemua 15 aksi Liga Super dan dengan selesa sampai ke perlawanan akhir kali ini dengan kemenangan selesa tanpa bolos.

Selain daripada prestasi semasa itu, kemenangan besar 4-0 dicatatkan Harimau Selatan ketika berhadapan skuad Warga Kota ketika perlawanan Liga Super pada Isnin lalu juga memberikan gambaran mengenai keputusan yang bakal tercipta dalam saingan final yang bakal berlangsung nanti.

Namun, keupayaan KL City untuk mencipta kejutan tidak seharusnya dipandang ringan kerana anak buah Bojan Hodak pernah menewaskan JDT 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 pada 2021.

Dalam pada itu, di sebalik kejayaan Harimau Selatan mendominasi Liga Malaysia (M) dengan menjuarai Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut sejak 2014, pasukan selatan tanah air itu hanya layak ke final Piala FA sebanyak tiga kali masing-masing pada 2013, 2016 dan 2022.

Daripada kesemua aksi tersebut, JDT berjaya menang dua daripada tiga perlawanan akhir yang diharungi iaitu ketika menentang PKNS FC 2-1 pada 2016 dan Terengganu FC 3-1 (2022).

Satu kekalahan yang dialami JDT ketika aksi final kejohanan tersebut adalah ketika menentang Kelantan FC yang menyaksikan Harimau Selatan tewas 0-1.

Dalam dua aksi yang dimenangi pada ketika perlawanan akhir Piala FA tersebut, tumpuan pastinya diberikan kepada pemain import yang dianggap punca di sebalik kejayaan itu.

Bagaimanapun, terselit dalam buku sejarah kelab itu ialah nama bakat-bakat tanah air yang berjaya menjaringkan gol peribadi, sekali gus membantu JDT melakar momen-momen manis.

Berikut Majoriti menyenaraikan dua pemain tempatan yang pernah menjaringkan gol untuk membantu skuad Harimau Selatan merangkul trofi berprestij tersebut.

1. Safiq Rahim

13087276_621986387964664_6944630737849774718_o

Safiq (depan) merupakan kapten pasukan JDT pada musim 2016. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur itu, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal daripada pasukan PKNS FC seawal minit keenam permainan melalui sepakan penalti daripada penyerang utamanya Gabriel Guerra.

Bagaimanapun, JDT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila pasukan itu dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang sensasinya, iaitu Jorge Pereyra Diaz dijatuhkan betul-betul di sebelah kanan kawasan kotak penalti pasukan lawan.

Tugasan untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut terletak kepada tidak lain tidak bukan di bahu kapten pasukan ketika itu, iaitu Safiq Rahim.

Dia yang ketika itu merupakan tonggak tengah utama JDT, tidak mensia-siakan peluang apabila dengan tenang memperdaya penjaga gol PKNS FC, G Jeevanathan dengan merembat ke penjuru kiri gawang.

Diaz kemudiannya melengkapkan kemenangan JDT dalam aksi yang berlangsung pada 14 Mei 2016 itu apabila berjaya meledak jaringan kedua pada minit ke-36 selepas berlakunya situasi kelam kabut di hadapan pintu gol lawan.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT yang ketika itu dikendalikan Mario Gomez merangkul kejuaraan sulungnya dalam kejohanan Piala FA selepas kelab itu melalui revolusi penjenamaan semula pasukan pada 2012.

2. Arif Aiman Hanapi

KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Aksi pemain JDT Arif Aiman setelah berjaya membolosi gawang gol Terengganu FC pada perlawanan Final Piala FA JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.Keputusan semasa JDT 1-0 Terengganu FC.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Reaksi Arif Aiman selepas berjaya meledak gol pertama buat JDT ketika perlawanan final Piala FA 2022. — Bernama

Bakat pemain sayap muda kebangsaan, Arif Aiman Hanapi sememangnya tidak boleh dipersoalkan sejak mencatatkan debutnya bersama JDT pada musim 2020.

Di samping bijak mencari ruang, kebolehannya untuk menjaringkan gol juga sukar disekat apabila pemain itu sering menjadi tulang belakang dalam membantu pasukan menembusi gawang lawan termasuk dalam beberapa perlawanan penting.

Antara yang diingati tentunya jaringan dihasilkan ketika aksi final Piala FA semasa menentang Terengganu FC pada 10 September tahun lepas.

Ketika aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Arif yang baru berusia 20 tahun itu menunjukkan kematangannya apabila dengan tenang melepaskan rembatan deras dari kaki untuk membuka tirai jaringan buat pasukannya pada minit ke-34.

Dua lagi jaringan yang dihasilkan JDT ketika kemenangan 3-1 itu disumbangkan penyerang utamanya Bergson Da Silva masing-masing pada minit ke-63 dan 78 manakala gol tunggal Terengganu dihasilkan Tchetche Kipre pada minit ke-76. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram