PENANG Black Panthers bangkit daripada kekalahan kepada Kuala Lumpur Thunder dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 selepas menumbangkan Johor Tigris 2-1 di Stadium MABA, Kuala Lumpur Ahad.
Dalam saingan minggu keempat itu, kemampuan Penang Black Panthers teruji apabila ditemukan dengan pasukan Johor Tigris yang dilihat sebagai pencabar utama dalam STL.
Penang Black Panthers melalui laluan sukar apabila tewas 12-21 dalam set pertama sebelum membuat 'comeback' untuk meraih kemenangan dalam dua set seterusnya dengan keputusan 21-11 dan 21-19.
Ketika perlawanan masih di set pertama, wartawan Astro Arena sempat menemu bual seorang penyokong Johor Tigris yang cukup yakin pasukan itu mampu meraih kemenangan.
Menerusi rakaman video di Instagram Astro Arena, penyokong Johor Tigris itu dalam nada yang kedengaran sangat yakin berasakan Penang Black Panters tidak bermain dengan baik yang akan membolehkan lawan menewaskan pasukan terbabit dengan mudah.
Kelihatan dalam video tersebut, penyokong lelaki itu juga mentertawakan pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu sambil merendah-rendahkan skuad terbabit.
"Perlawanan yang sangat mudah, come on lah Penang, adoiii...21-12...main ke tidur tadi?," katanya sambil disambut gelak tawa penyokong lain.
Ditanya wartawan Astro Arena tentang perlawanan set kedua, dia berasakan Zaim perlu memberikan saingan lebih sengit kepada lawan.
"Kalau dia masukkan Zaim (Zaim Razali) sebagai pengumpan balik, mungkin ada fight, Zaim tadi 'koyak'.
"Okay Johor, ingat abang ada dekat belakang sayang," katanya dalam video tersebut sambil disambut sorakan dan tepukan daripada penyokong.
Dalam perlawanan set pertama, Johor Tigris berjaya mematahkan semangat Penang Black Panthers, 21-12.
Walaupun begitu, dalam set kedua perlawanan, tekong Penang Black Panthers, Ronnapee Na Nongkhai tidak membiarkan pasukannya terus tewas dan memulakan aksi bergaya yang seterusnya menyamakan mata, 21-11.
Skuad Penang Black Panther berjaya menundukkan pasukan Johor Tigris pada set terakhir, dengan mata 21-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram