Penang Black Panthers masih 'nego', tunggu kepulangan import Thailand


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Pasukan Utara tanah air itu berada di tangga ketiga selepas sembilan perlawanan STL Emas Annuar 2023. — Facebook/SepakTakraw League

SELEPAS mengharungi sembilan perlawanan dalam saingan Liga Sepaktakraw (STL) Emas Annuar 2023, Penang Black Panthers kini berada di tangga ketiga.

Sebanyak 12 mata yang dikutip menyaksikan pasukan Utara tanah air itu hanya dibezakan enam mata dengan pendahulu carta, Kuala Lumpur (KL) Thunders.

Mereka yang menang baru-baru ini ke atas sebuah lagi skuad pilihan, Johor Tigris dengan keputusan 2-1 memberikan amaran buat mereka yang lain atas kebolehan Penang Black Panthers.

Namun, kejayaan itu tidaklah terlalu menceritakan mengenai reputasi semasa mereka apabila sebelum itu, pasukan terbabit tewas kepada KL Thunders dan Perak Bison.

Tetapi, tegas pengurus pasukan, Shaherman Shafie, tidak boleh dinafikan kesemua pasukan lain yang kini berada di atas mereka dalam carta merupakan sebuah lawan yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Jadi, dia berharap agar kesemua sembilan perlawanan yang berbaki untuk musim 2023 dapat dimanfaatkan pasukan berkenaan untuk menduduki tangga teratas.

Perejam-dari-Thailand-Aekkasit-Naphom

Aekkasit pernah menjadi tonggak utama Penang Black Panthers untuk beberapa musim.

"Pusingan kedua nanti akan dijalankan secara timbal balik. Bermakna, perlawanan yang kedua selepas berehat, kami akan bertemu semula KL Thunders dan kami harus menang," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, jelas Shaherman, dalam usaha Penang Black Panthers untuk memperbaiki isu konsistensi, mereka akan cuba untuk membawa masuk wajah baharu.

Ini termasuk sasaran yang diletakkan pihak pengurusan untuk mendapatkan semula khidmat import apit kanan dari Thailand, Aekkasit Naphom selepas pernah beraksi buat mereka pada 2022.

"Kami masih lagi berunding dengan majikan Aekkasit. Alhamdulillah, kemungkinan apit kanan Navy Thailand tersebut akan hadir bersama Penang Black Panthers.

"Kami bersedia menanti kehadirannya untuk menajamkan lagi bahagian serangan. Beberapa kelemahan pasukan seperti tahap kecergasan dan psikologi pemain sedang dijalankan, kemungkinan keseluruhan lapan pemain akan digunakan mengikut kesesuaian keadaan," katanya lagi.

Pada 2022, Aekkasit muncul sebagai antara tonggak utama pasukan Utara tersebut dengan kehadirannya seakan-akan menjamin kemenangan buat Penang Black Panthers. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram