PENANG Black Panthers memulakan kempen Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 dengan langkah kanan selepas berada di tangga ketiga selepas empat perlawanan.
Kemenangan selesa 2-0 baru-baru ini ke atas Sabah Mountaineers menyaksikan pasukan itu sudah mengumpul enam mata yang mengikat mereka dengan dua pasukan lain, Perak Bison dan KPT-Masum Knights.
Namun, dalam aksi yang bakal berlangsung dalam minggu keempat STL, kemampuan Penang Black Panthers bakal diuji dua pasukan dalam kelompok empat pasukan teratas.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Maba, Kuala Lumpur (KL) itu bakal menyaksikan pertembungan mereka dengan Perak Bison, KL Thunders serta Johor Tigris.
Aksi dengan KL Thunders yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat pastinya menjadi satu cabaran besar dengan lawan mereka itu masih belum dikalahkan setakat ini.
Selain itu, Perak Bison yang berada di tangga keempat selain kebolehan Johor Tigris untuk melakukan kejutan terhadap lawannya juga pasti tidak akan dipandang rendah oleh Penang Black Panthers.
Tetapi, bagi pengurus pasukan, Mohd Shaherman Shafie, tidak boleh dinafikan bahawa kesemua lawan mereka itu mempunyai kelebihan tersendiri.
Penang Black Panthers berada di kelompok empat terbaik ketika ini. — Facebook/SepakTakraw League
"Apa yang kami lakukan adalah dengan sentiasa bersedia menghadapi pasukan lawan dengan memasang strategi taktikal bagi menghadapi serangan lawan.
"Kami memandang serius akan kelebihan pasukan lawan dimana rata-rata terdiri daripada pemain kebangsaan," katanya kepada Majoriti.
Selepas minggu kedua STL berlangsung, ATM Guardians menduduki tangga teratas carta selepas mencatatkan lapan mata daripada lima perlawanan.
Antara kemenangan yang dicatatkan pasukan itu adalah ketika mereka menumpaskan Penang Black Panthers di Spice Arena, George Town, Pulau Pinang.
Jelas Shaherman lagi, terdapat kemungkinan pasukan Utara tanah air tersebut akan cuba melakukan perubahan dalam ketiga-tiga aksi STL itu.
"Insya-ALLAH pendekatan berbeza kita gunakan bagi menentang Perak Nison, KL Thunders dan Johor Tigris. Kami akan memperbaiki dari serangan, terutamanya servis dari tekong," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram