SEJAK jendela perpindahan dibuka pada Rabu, Penang FC merupakan salah sebuah kelab yang masih sunyi daripada sebarang aktiviti kemasukan ataupun penghijrahan pemain.
Melihat kepada situasi semasa skuad Harimau Kumbang, masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan apabila kelab itu kini berada di tangga ke-10 Liga Super.
Antara aspek yang sememangnya perlu diberi perhatian ialah benteng pertahanan memandangkan kelab Utara tanah air itu sudah dibolosi sebanyak 22 kali selepas 15 perlawanan.
Ketika ini, terdapat khabar angin yang mengatakan seorang bek tengah mereka, Zaw Min Tun akan meninggalkan pasukan berkenaan selepas gagal mengukuhkan tempatnya sebagai pemain utama.
Selepas tiba dengan reputasi cukup baik, kapten pasukan kebangsaan Myanmar itu kerap dipersalahkan sekiranya gawang gol Penang FC dibolosi.

Swirad semakin kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama Sri Pahang musim ini. — Agensi
Jadi, tidak hairanlah apabila seorang pemain pertahanan baharu menjadi sasaran utama skuad Harimau Kumbang dalam misi untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan lebih baik.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, terdapat khabar angin yang mengatakan pasukan Utara tanah air itu berminat untuk mendapatkan pemain import Sri Pahang FC, Nick Swirad.
Perkara tersebut berpunca dari satu ciapan daripada wartawan tempatan, T Avineshwaran yang mengatakan Penang FC mahu membawa masuk bek tengah itu secara import.
"Difahamkan bahawa Penang sedang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Nicholas Swirad secara pinjaman dan ada juga minat yang ditunjukkan daripada kelab-kelab Indonesia," katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, pemain berusia 32 tahun itu difahamkan lebih berminat untuk kekal di Pantai Timur walaupun tempatnya dalam kesebelasan utama kian hilang.
Sejak menyertai skuad Tok Gajah pada 2021, Swirad berjaya menempatkan kedudukannya sebagai salah seorang tonggak pasukan dengan kebolehan serta ketangakasannya dalam benteng pertahanan sukar dipersoalkan.
Bagaimanapun, dengan usianya semakin lanjut tahun ini, dia hanya diberikan tujuh penampilan Liga Super dengan ketua jurulatih, Fandi Ahmad lebih gemar untuk menurunkan Fadhli Shas dan Michael Glassock. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
