NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
KELIBATNYA yang berbaju baru merah jambu dibasahi keringat, dengan gelagat tergesa-gesa ketika temu bual siaran langsung televisyen selepas perlawanan, membayangkan Irfan Bakti Abu Salim benar-benar sudah kembali.
Malah, perawakannya sebagai seorang jurulatih veteran yang tegas dan berkesungguhan menyerlahkan seolah-olah dia tidak pernah pun mengambil cuti sakit jika dibandingkan dengan keadaannya kira-kira sebulan lalu.
Tidak sekadar itu, nada percakapan ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC) itu yang menyogokkan keyakinan, membayangkan dia bagaikan tidak sabar menantikan jendela perpindahan kedua bermula Rabu untuk pasukannya keluar dari kelompok terbawah carta liga.
“Dengan kemasukan tiga import baharu, saya boleh berasa yakin yang kami akan mampu memperbaiki kedudukan,” katanya kepada Laptop Cabuk dalam perbualan telefon sambil menantikan penerbangan pulang ke Kuching pada pagi Selasa.
Skuad The Cats itu tewas 1-2 kepada Selangor FC – berjurang 28 mata dan 10 anak tangga dalam carta liga -- di Stadium Majis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam Isnin dalam satu lagi keputusan yang disifatkannya sebagai perbezaan sangat tipis.
Malah, daripada 10 kekalahan yang dialami mereka selepas 14 perlawanan, lima mencatatkan perbezaan cuma satu gol, dengan selebihnya datang daripada kekalahan di tangan Sabah FC 1-2 (H), PDRM FC 0-1 (H), Sri Pahang FC 0-1 (H) dan Penang FC 1-2 (A).
Kekalahan lain dengan jurang lebih daripada satu gol dialami di tangan Selangor FC 0-5 (H), Perak FC 0-2 (A), Kedah FC 0-3 (A), Terengganu FC 0-2 (A) dan JDT 0-4 (H) di samping tiga keputusan seri dengan Kelantan United 1-1 (H), KL City FC 1-1 (A) dan Negeri Sembilan FC 1-1 (H).
Irfan Bakti ditemui wartawan selepas perlawanan di antara Selangor FC dan KCFC. — Facebook/KCFC
Satu-satunya kemenangan mereka ialah ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Kelantan FC 2-1 hasil jaringan dua penyerang import, Sudi Abdallah dan Abu Kamara, di Kota Bharu dalam perlawanan pembuka musim pada 25 Februari lalu.
“Akhir-akhir ini, kalau tak menang pun, kalah cuma sebiji. Lawan pun dengan pasukan gergasi (Selangor FC), kalah satu gol kira OK lah,” katanya yang berpuas hati dengan prestasi pemain-pemainnya menjelang jendela perpindahan dengan menyerapkan tiga pemain import baru.
Penyertaan pemain tengah, Dechi Marcel N’Guessan dari Ivory Coast, pemain tengah menyerang, Bruno Dybal dari Brazil, dan penyerang kelahiran, Pedro Henrique, menjadi sumber keyakinan jurulatih berusia 72 tahun itu untuk menghadapi hari-hari mendatang dengan lebih optimis.
Ketibaan ketiga-tiganya bermakna tiada lagi tempat buat Sirojiddin Kuziev, Sudi Abdallah dan Michael Ijezie yang tidak dilanjutkan khidmat mereka dalam pada The Cats mengekalkan kuota sembilan pemain importnya dalam pusingan kedua liga.
KCFC, menerusi laman Instagram rasmi pasukan pada 15 Jun lalu, mengumumkan kemasukan dua import baharu, Dechi dan Pedro, selepas mengesahkan penyertaan Bruno beberapa hari lalu sebelum itu.
Dechi, 31, sebelum ini pernah berkhidmat untuk Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, masing-masing selama dua musim, manakala Pedro adalah penyerang naturalisasi Timor Leste berdarah Brazil.
Kesebelasan utama KCFC ketika berdepan Selangor. — Facebook/KCFC
Perlawanan minggu ke-16 (LS16) dengan KCFC menjadi tetamu kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu, dijangka menyaksikan kedua-dua pasukan membariskan import baru masing-masing – The Rhinos baru menandatangani Ramon Machado dan Miguel Cifuentes.
Cifuentes, 32, atau panggilan ringkasnya Cifu, ditandatangani selepas kontraknya tamat bersama Kelantan FC manakala Machado, 32, pula menjadi pilihan kerana pengalamannya dalam Liga Azerbaijan bersama Gabala FC.
“Dechi dan Bruno nampaknya sudah dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan rakan sepasukan baru dalam latihan. Seorang lagi (Pedro), kena beri dia masa sedikit. Dengan tiga-tiganya, saya yakin kami boleh menunjukkan permainan lebih baik,” ujarnya.
Ketua jurulatih itu juga mengharapkan Dechi, Bruno dan Pedro – ketiga-tiganya berperanan lebih kepada menyerang – dapat menamatkan kebuntuan jaringan pasukannya yang hanya mampu menyumbat lapan gol, terendah dalam kalangan 14 pasukan dalam Liga Super.
“Bukannya kami tak berpeluang tapi kami tak ada penjaring. (Dalam perlawanan dengan Selangor) Kamara mendapat dua ‘sitter’ tapi disia-siakan. Dia seorang penyerang yang rajin tapi kurang tajam membuat penyudahan,” jelasnya.
Irfan, yang menjalani pembedahan lebih sedikit dari sebulan lalu selepas patah tulang selangka selain patah empat tulang rusuk dalam satu kemalangan jalan raya di Shah Alam, Selangor memberitahu dia sudah cukup cergas untuk meneruskan tugasnya.
“Saya dah OK, tak ada apa-apa masalah. Rasa mencucuk-cucuk tu biasalah tapi patah tulang rusuk ni lambat-laun akan baik sendiri,” katanya yang enggan membenarkan kecederaan fizikalnya itu membataskan pergerakannya mengendalikan latihan.
Irfan (kanan) melihat anak buahnya diasak oleh Mukhairi Ajmal (kiri). — Facebook/KCFC
Irfan, jurulatih veteran yang sudah memasuki tahun ke-23 dalam Liga Malaysia – sejak mengemudi Negeri Sembilan buat kali pertama pada musim 1999 – sebelum ini kerap mengeluh disebabkan deretan kekalahan yang dialami pasukannya.
Pernah pada suatu ketika selepas rentetan kekalahan KCFC berlanjutan kepada sembilan perlawanan, termasuk satu aksi Piala FA, ketua jurulatih itu meluahkan: “Saya dah tak tertahan dengan kekalahan demi kekalahan. Tak biasa kalah sampai banyak macam ini.”
Malah, sebelum itu lagi, dia menghamburkan: “Selepas tiga atau empat kekalahan musim ini, saya tawarkan diri kepada pengurusan untuk letak jawatan. Sebagai ketua jurulatih, saya perlu bertanggungjawab penuh. Permintaan saya ditolak tapi tak elok juga kalau saya quit masa pasukan di bawah.”
Kini, dengan skuad The Cats itu akan menyingkap halaman baru dalam buku tebal pengkisahan mereka selepas kemasukan tiga import berkenaan, Irfan mula merenung kebarangkalian untuk mereka mula menghitung kemenangan demi kemenangan pula selepas ini.
“Memang itu niat saya pun,” katanya sebelum menaiki pesawat ke Kuching. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram