Perak FC ambil langkah berani, teruskan hasrat rekrut bintang ada sejarah kecederaan ACL


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Perak FC merupakan salah sebuah pasukan yang sudah berbelanja besar untuk jendela perpindahan kedua Liga Super. — Facebook/Perak FC

BAGI menyelesaikan masalah ketempangan di bahagian tengah, Perak FC mengambil keputusan mendapatkan pemain Terengganu FC, Azalinullah Alias.

Pemain itu dibawa masuk dengan harapan untuk meningkatkan kualiti di posisi berkenaan memandangkan kelab Utara tanah air tersebut masih mencari kesebelasan utama terbaik.

Bagaimanapun, perpindahan berkenaan dilihat cukup menarik memandangkan terdapat beberapa kisah menarik di sebalik penghijrahan Azalinullah ke skuad The Bos Gaurus (TBG).

Penyokong bola sepak tempatan hari ini pastinya mudah terlupa bahawa pemain kelahiran Terengganu itu pernah diangkat sebagai salah seorang permata di kelab berkenaan.

Di samping pintar dalam mencari peluang, Azalinullah juga mempunyai kebolehan untuk mengawal tempo pasukan dengan pihak kejurulatihan meletakkan kepercayaan penuh di bahunya.

WhatsApp Image 2023-07-06 at 18.33.17

Azalinullah diumumkan sebagai rekrut baharu skuad TBG untuk baki musim 2023.

Malangnya, perkara itu tidak berpanjangan apabila pada 2019, pemain berketinggian 1.75 meter terbabit mengalami kecederaan serius di ligamen lutut anterior (ACL).

Ia bukanlah kali pertamam Azalinullah berdepan nasib buruk itu apabila dia pernah mengalami situasi sama pada 2015 sebelum ia berulang pada 2021.

Insiden tersebut menyaksikan jeneral tengah berkenaan terpaksa disisihkan daripada skuad Sang Penyu untuk baki musim berkenaan sehingga menyebabkan kebolehannya terjejas.

Peluangnya yang terjejas di atas padang berlanjutan sehingga musim lalu apabila dia hanya mencatatkan lima penampilan dengan dua daripadanya direkodkan dalam kesebelasan utama.

Jadi, kehadirannya ke Perak FC dilihat sebagai satu langkah berani buat pasukan berkenaan dengan mereka perlu membantu pemain berkenaan mendapatkan rentaknya semula.

Azalinullah-Alias-vs-Melaka-United

Azalinullah (kanan) jarang mendapatkan minit permainan selepas mengalami kecederaan ACL. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, ia tidak memberi sebarang kesan terhadap minat skuad TBG memandangkan terdapat laporan mengatakan kelab Liga Super itu sudah mahu mendapatkan Azalinullah sejak awal musim lalu.

Hal tersebut dinyatakan wartawan sukan tanah air, T Avineshwaran yang mana jelas menceritakan mengenai tarikan pemain dengan rekod kecederaan serius itu.

"Ia sepatutnya berlaku ketika jendela perpindahan pertama yang lalu, tetapi ia hanya berlaku pada jendela kali ini. Mari kita berharap Azalinullah dapat mencari semula rentaknya," ciapnya.

Ketika ini, skuad TBG difahamkan akan membawa masuk lebih ramai pemain baharu di samping melepaskan segelintir yang tidak memberikan impak ketara buat pasukan.

Bagi Azalinullah pula, dia dilihat akan diturunkan di samping dua pemain tengah import, Sunday Afolabi dan Luciano Guaycochea untuk menambah baik prestasi mereka dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh flolow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram