Cuba disogok ejen, CEO Perak FC tak pernah 'sakau' duit


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Bobie dilantik sebagai CEO sementara Perak FC pada Mei tahun lepas. — Facebook/Perak FC

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin menegaskan bahawa dirinya tidak akan sesekali mengambil kesempatan untuk 'menyakau' duit kelab The Bos Gaurus (TBG) daripada pihak tertentu.

Perkara itu didedahkan selepas satu individu yang bekerja sebagai ejen pemain bola sepak cuba menyogoknya untuk mengambil yuran pemain sekiranya pihak Perak FC berhasil mengikat seorang pemain daripadanya.

Pendedahan itu dikongsikan sendiri oleh Bobie Farid menerui Facebook peribadinya iaitu TBG Super Fan yang merupakan platform untuknya berkongsi dan berinteraksi dengan penyokong mengenai Perak FC.

WhatsApp Image 2023-07-06 at 13.35.28

Tangkap layar hantaran dari Bobie Farid.

"Bos saya nak bincangkan sesuatu dengan awak, cuma antara saya dan awak. Setiap pemain yang anda ambil daripada saya, saya akan berkongsi yuran ejen dengan anda 50/50. Itu janji saya dan saya tidak akan menghampakan bos. Biarlah jadi rahsia antara kita," kata ejen tersebut.

Selepas Bobie yang juga Prinsipal Pasukan The Komanz Kru Racing Team (TKKR) itu tetap dengan pendiriannya iaitu tidak ingin mengambil separuh daripada yuran perpindahan pemain, ejen tersebut terus sahaja meminta maaf kepadanya.

"Minta maaf.. Sebab banyak kelab tak nak ejen yang minta bayaran sebab tu saya cakap bos.. Maaf sangat saya tak bermaksud nak menyinggung perasaan bos," balasnya kembali.

WhatsApp Image 2023-07-06 at 13.35.29

Tangkap layar perbualan antara Bobie Farid dan ejen itu.

Rentetan daripada kenyataan ejen tersebut, ramai penyokong sependapat bahawa kehadiran lambakan import di Liga M adalah disebabkan sikap pemilik kelab yang menginginkan komisen daripada yuran perpindahan itu.

Situasi tersebut secara tidak langsung sedikit sebanyak merosakkan industri bola sepak negara kerana kelab hanya mementingkan keuntungan peribadi dan bukannya kualiti seseorang import itu.

Dalam pada itu, ramai penyokong Perak memuji keperibadian Bobie Farid yang tidak dibutakan dengan wang ringgit dan hanya fokus untuk menaikkan Perak FC.

"Jadi makin banyak tukar import makin banyak duit boleh dapat dari sebelum ini," kata penyokong Perak, Sid Bakri.

"Benda ini dah biasa dalam bola sepak lagi-lagi bawah negeri sebab ada anai-anai dalam pasukan dahulu Perak banyak hutang," tambah seorang penyokong, John Labu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram