DUA hatrik berturut-turut ketika bersama-sama Johor Darul Takzim (JDT) dan Harimau Malaya jelas membuka mata orang ramai terhadap kualiti pemain sayap, Arif Aiman Hanapi.
Di samping memiliki kelincahan untuk melancarkan gerakan balas, deria 'pembunuh' yang dipamerkan jelas meningkatkan lagi reputasinya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Sejak memulakan kariernya bersama skuad Harimau Selatan pada 2020, nama Arif Aiman terus dijadikan bahan bualan sensasi melihat kepada usianya yang masih muda.
Tambahan pula, kebolehannya untuk beraksi di tahap tertinggi dalam perlawanan-perlawanan getir, seperti ketika pentas akhir Piala FA 2022 juga meningkatkan lagi nilainya.
Melihat kepada prestasi menakjubkannya itu, terdapat beberapa cadangan untuk melihat Arif Aiman menonjolkan bakatnya di luar negara.
Perkara tersebut bukan sahaja dirasakan penyokong bola sepak negara secara umum dengan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali turut berpendapat sedemikian.
Menurutnya, kelab-kelab di Timur Tengah dilihat sebagai destinasi terbaik buat pemain berusia 21 tahun itu apabila kebolehannya dalam liga tempatan tidak boleh lagi dinafikan.
Bagaimanapun, pandangan berkenaan kurang dipersetujui sebilangan pihak apabila terdapat beberapa bakat tempatan yang pudar selepas melebarkan sayap karier masing-masing di luar negara.
Di samping kesukaran untuk menyesuaikan diri, ada juga situasi yang mana mereka tidak dapat minit permainan mencukupi sehingga menghilangkan kebolehan di atas padang.
Namun, pandangan tersebut bukanlah sesuatu yang tepat memandangkan terdapat tiga pemain yang berjaya mencuri nama ketika beraksi di liga luar.
1. Safee Sali
Selepas mencuri nama bersama Selangor FA, Safee Sali memilih untuk berkelana ke Indonesia untuk menyertai sebuah kelab yang berpangkalan di Jawa Timur, Pelita Jaya.
Perpindahan itu juga didorong dengan prestasi menakjubkan pemain berkenaan ketika menyarung jersi skuad kebangsaan dengan kelincahan serta kebolehannya untuk melakukan rembatan dari luar kotak.
Meskipun langkah terbabit menimbulkan keraguan pada awalnya, penyerang kelahiran Kajang, Selangor tersebut tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan sentuhannya.
Dalam musim pertamanya bersama kelab itu, Safee berjaya menjaringkan tujuh gol dalam hanya 13 penampilan yang mana boleh dianggap sebagai satu pulangan yang berbaloi.
Safee ketika dilantik sebagai kapten Pelita Jaya. — Agensi
Namun, kemuncak karier pemain dengan ketinggian 1.72 meter itu dapat disaksikan apabila dia menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan ketika menentang Gresik United pada 2012.
Sepanjang tiga musim bersama Pelita Jaya, penyerang berkenaan menjaringkan 27 gol dalam 42 penampilan bagi kesemua pertandingan yang disertai.
Dia kemudiannya kembali ke tanah air pada 2013 untuk menyertai JDT pada 2013 sebelum berkelana bersama beberapa kelab yang berpangkalan di Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur (KL) City FC musim lalu.
Kini, Safee bertugas sebagai pengulas Liga Super selepas mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak secara rasmi pada pertengahan Februari lalu.
2. Datuk Lim Teong Kim
Perpindahan bakat-bakat tempatan ke liga-liga luar bukanlah sesuatu yang baharu apabila bekas pemain kebangsaan, Datuk Lim Teong Kim juga pernah berbuat sedemikian.
Selepas memulakan karier bersama Melaka FA pada 1983, dia berkesempatan menimba pengalaman bersama beberapa kelab tanah air yang lain, seperti Kuala Lumpur.
Namun, nama Teong Kim menjadi tumpuan ketika dia mengumumkan penghijrahannya untuk menyertai sebuah kelab Jerman, Hertha Berlin pada dengan kontrak selama semusim.
Bagaimanapun, dalam tempoh singkat itu, individu yang kini sudah berusia 59 tahun berkenaan sempat mencuri tumpuan selepas menjaringkan lapan gol dalam 29 penampilan.
Teong Kim ketika menyertai Hertha Berlin pada 1986. — Agensi
Walaupun statistik itu dilihat tidak cukup megah, ia boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan memandangkan Teong Kim masih berusia 23 tahun pada musim berkenaan.
Tetapi, jodohnya bersama Hertha Berlin tidak panjang apabila dia memilih untuk kembali ke tanah air dan menyertai Kuala Lumpur FA.
Perpindahan itu bagaimanapun dilihat memainkan peranan penting di sebalik kehidupan peribadinya apabila dia mula membina keluarga di negara Eropah terbabit.
Ini termasuk ketika dia membina nama sebagai seorang jurulatih dengan gergasi Jerman, Bayern Munich memberikannya peluang untuk mengasah bakat dalam bidang berkenaan di peringkat akar umbi.
Selain itu, Teong Kim juga pernah mencuba bakatnya dalam dunia kejurulatihan apabila mengendalikan Perak FC awal musim lalu sebelum direhatkan akibat prestasi kurang menyerlah.
3. Dion Cools
Meskipun hanya berstatus pemain warisan, tidak salah untuk melabel bek tengah, Dion Cools sebagai salah seorang pemain tempatan dengan karier cukup baik di luar negara.
Dilahirkan di Sarawak, pertahanan kental tersebut memulakan kariernya bersama kelab kerdil di Belgium, OH Leuven untuk dua musim.
Selepas membuktikan bakatnya, pemain terbabit memilih untuk berkelana dan menyertai sebuah lagi pasukan di negara itu, Club Brugge pada 2015.
Sepanjang bersama skuad Biru Hitam, Dion Cools meraih pelbagai pengalaman di samping mencatatkan beberapa kejayaan, termasuk menjuarai liga utama Belgium sebanyak dua kali.
Dion Cools (tengah) dalam aksi bersama Midtjylland ketika berdepan Liverpool FC. — Agensi
Lima tahun selepas itu, bek tersebut memilih untuk sekali lagi berpindah dengan kelab Denmark, Midtjylland menjadi destinasi baharunya.
Senario sama turut berlaku apabila dia mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama dalam membantu pasukan berkenaan mencatatkan momen-momen berharga.
Pencapaian itu juga menyaksikan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberikannya peluang untuk berada dalam skuad kebangsaan dengan Dion Cools mencatatkan debutnya pada 2021.
Kini, pemain berusia 27 tahun itu sudah menyertai kelab Thailand, Buriram United dengan dia menjadi tonggak utama di sebalik kejayaan treble mereka di peringkat domestik.
Malah, ada juga yang melabel Dion Cools sebagai pemain tempatan terbaik yang pernah beraksi di luar negara melihat kepada koleksi kejuaraannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram