Magis bersama kelab kerdil, sentuhan Rezal Zambery jadi modal sembang menjelang aksi Kelantan United-The Bos Gaurus


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Rezal mempunyai pengalaman dan rekod permainan cemerlang yang diperolehnya sepanjang kerjaya dalam arena bola sepak sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih. — Facebook/TRW Kelantan FC

BERITA tentang penamatan khidmat bekas jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya pada Khamis masih hangat dibincangkan oleh peminat-peminat sukan bola sepak ketika ini.

Pengumuman tersebut dibuat selepas perbincangan dua hala antara bekas pengendali skuad The Red Warrior (TRW) dengan pihak pengurusan yang menjurus kepada keputusan berkenaan.

Bagaimanapun perkhabaran tersebut tidak terhenti di situ apabila muncul satu lagi khabar angin yang mendakwa Rezal bakal memperkemaskan kejurulatihan pasukan Kelantan United FC selepas ketua jurulatih baharu, Ailton Dos Santos dipertanggungjawab untuk mengemudi skuad Sang Kijang Hijau.

Perkara tersebut sekali gus memberikan tamparan hebat kepada TRW yang dilihat mungkin terus terkubur di tangga terakhir dalam Liga Super musim ini.

Untuk rekod, Rezal Zambery pernah dilantik menjadi penolong jurulatih kepada bekas pengendali Kelantan FC yang berasal San Marino, Marco Ragini pada 2021 dan seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih interim untuk musim 2022 serta membantu TRW menjadi naib juara Liga Perdana 2022.

Skuad berkenaan ketika berjaya menduduki tempat kedua dalam divisyen kedua bola sepak tanah air dengan mencetakkan rekod kemenangan dalam 11 perlawanan, sekali gus menewaskan kelab bola sepak tempatan lain ketika itu seperti Kuching FC, T-Team FC, dan KUFC.

357576611_692994176173573_2762719417291690380_n

Kelantan United FC ketika ini berada di tangga kedua tercorot dalam Liga Super musim ini. — Facebook/ Kelantan United FC

Dengan rekod kemenangan yang baik, tidak hairanlah jika skuad Sang Kijang Hijau bakal menerima tonik baharu yang boleh meningkatkan pretasi permainan skuad berkenaan seterusnya memudahkan pendakian ke tempat lebih tinggi dalam carta Liga Super musim ini.

Selain itu, anak jati Batu Pahat, Johor itu turut mempunyai pengalaman di liga domestik sebagai pemain berpengaruh di Johor FA dan ATM FA.

Rezal Zambery semasa mengerah keringat bersama skuad selatan tanah air pernah memenangi Piala FA 1998 dan Liga Perdana pada musim seterusnya.

Beliau kemudiannya meneruskan rekod cemerlang bersama ATM FA dengan mengungguli Liga Perdana 2012.

Berbekalkan pengalaman dan rekod cemerlang yang diperolehnya sepanjang kerjaya dalam arena bola sepak semasa zaman mudanya, skuad KUFC pastinya boleh memanfaatkan ilmu yang bakal dicurahkan sekiranya khabar angin tersebut adalah benar.

Perkara tersebut boleh menjadi petanda baik apabila mereka bakal berdepan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, Perak dalam aksi Liga Super 2023 pada Jumaat.

Kemasukan Rezal Zambery dalam pasukan Kijang Hijau itu sekurang-kurangnya boleh mengurangkan jumlah bolos berdepan skuad The Bos Gaurus yang kini berada di tangga 11 dalam kejohanan domestik itu.

Biarpun masih belum ada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan KUFC berhubung status sebenar Rezal Zambery, rata-rata peminat sudah boleh meneka kelab jiran TRW itu merupakan destinasi seterusnya buat pengendali berwibawa berkenaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram