PERJUANGAN Kuala Lumpur City FC (KL City FC) ke peringkat akhir Piala FA 2023 berjalan lancar apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) di laman sendiri pada Ahad lepas.
KL City FC berjaya menempah tiket ke final di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-2 selepas kedua pasukan berhempas pulas selama 120 minit bagi mengekalkan jaringan 0-0.
Bukan sahaja Sang Penyu yang terpaksa menghentikan perjalanan ke pusingan akhir Piala FA malah Selangor FC turut kecewa dengan keputusan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 26 Jun lalu.
Keputusan 4-0 di SSI itu menutup peluang Gergasi Merah untuk meneruskan impian beraksi menentang The City Boys apabila Johor Darul Takzim (JDT) tampil garang menerusi hatrik Arif Aiman Hanapi pada babak pertama perlawanan.
Sekitar sesi latihan Harimau Selatan dalam menghadapi KL City FC. — Instagram/officialjohor
Bagaimanapun, The City Boys terpaksa melupakan seketika perlawanan akhir Piala FA tersebut apabila dijadualkan untuk bertemu Harimau Selatan dalam saingan Liga Super 2023 yang berlangsung di SSI pada 3 Julai depan.
Pertembungan dalam aksi Liga Super dianggap sebagai satu ujian buat pasukan Warga Kota sebelum menghadapi pusingan akhir Piala FA menentang JDT 22 Julai nanti.
Dalam pada itu, anak buah kendalian Bojan Hodak perlu meneliti corak permainan yang ditampilkan oleh Harimau Selatan dalam perlawanan liga agar tidak dibenam dengam mudah di pentas akhir Piala FA nanti.
Ini kerana, kehebatan JDT tidak dapat dinafikan kerana masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 14 dan hanya dua kali bolos sepanjang perlawanan liga berlangsung.
Tambahan pula, JDT mungkin bakal menurunkan senjata berbahaya mereka iaitu peledak berbisa, Bergson da Silva pada perlawanan berkenaan apabila dia dilihat tampil menjalani sesi latihan menjelang pertembungan dengan KL City FC.
Kehadiran penyerang prolifik JDT itu bakal menjadi ujian awal skuad Warga Kota sebelum perlawanan Piala FA kelak.
Untuk rekod, Harimau Selatan berjaya mengekalkan rekod musim 2022 apabila mara sekali lagi ke final Piala FA bagi 2023.
JDT mengungguli tangga pertama dengan 42 mata manakala KL City FC kini menduduki tangga keenam hasil kutipan 23 poin carta Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram