KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) tidak mempunyai masalah untuk membelasah Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kemenangan besar 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.
Kemenangan ke atas skuad Warga Kota itu secara tidak langsung mengesahkan tiga mata milik Harimau Selatan dan sekali gus masih mengekalkan rekod kemenangan tanpa kalah selepas 15 perlawanan.
Tonggak import Brazil, Diogo Luis Santo meledak hatrik pada minit ke 12, 35 dan sebelum berakhir babak pertama, manakala Arif Aiman, Safiq Rahim serta Akhyar Rashid mencetak satu jaringan gol.
Manakala, KL City hanya berhasil mendapat gol saguhati menerusi Zirdum yang mencetak jaringan tunggal buat Warga Kota pada minit ke-54.
Kekalahan di tangan juara bertahan Liga Super itu meletakkan KL City FC terus jatuh dalam kedudukan Liga Super apabila mereka kini berada di tangga keenam selepas dipintas Terengganu FC.
Safiq diberikan peluang untuk beraksi pada penghujung perlawanan ketika berdepan KL City FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian dalam pertembungan tersebut adalah apabila Safiq yang merupakan seorang yang berstatus senior berjaya menjaringkan gol.
Jaringan itu merupakan gol pertamanya dalam Liga Super 2023 memandangkan dia jarang diberikan peluang untuk diturunkan bersama skuad Harimau Selatan.
Selain itu, sumbangan pemain berusia 35 tahun berkenaan dilihat akan terus menjadikannya salah satu nama buat ketua jurulatih, Esteban Solari untuk aksi selepas ini.
Untuk rekod, kali terakhir Safiq mencatatkan penampilan dalam Liga Super adalah ketika berdepan PDRM FC dengan dia turut dimasukkan sebagai pemain simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram