
KEHADIRAN pemain import dari ASEAN sememangnya memberikan dimensi tersendiri terhadap imej Liga Malaysia (M).
Selain meningkatkan lagi pendedahan khususnya di negara pemain tersebut, bakat dan kemahiran bola sepak pemain tersebut juga pastinya menjadi khidmat yang ditagih oleh setiap kelab yang beraksi di dalam negara.
Peminat bola sepak tanah air pastinya masih mengingati beberapa aksi bintang import Asia Tenggara yang pernah mewarnai bola sepak Malaysia antaranya Bambang Pamungkas yang beraksi bersama pasukan Selangor FC dan Harris Harun bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Dalam pada itu, untuk musim ini, syarat kuota sembilan pemain import menetapkan hanya lima daripadanya dibenarkan beraksi di atas padang terdiri daripada tiga pemain import, satu import Asia dan satu import ASEAN.
Dengan format tersebut, rata-rata daripada kelab yang bersaing di Liga M dilihat mengambil keputusan untuk menandatangani seorang import ASEAN bagi mengoptimumkan kelebihan kuota import yang dibenarkan itu.
Berikut Majoriti senaraikan tiga pemain import ASEAN yang menunjukkan prestasi terbaik bersama pasukan masing-masing setakat lebih empat bulan liga berlangsung:
1) Jordi Amat
JDT menandatangani Jordi pada jendela perpindahan pertengahan musim lalu. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Memasuki musim kedua beraksi di Liga M, Jordi Amat yang merupakan pemain naturalisasi dari Indonesia ini mula menunjukkan pengaruh sebenarnya sebagai pemain yang memiliki pengalaman beraksi di beberapa kelab yang beraksi di liga utama Eropah.
Malah dia yang juga pemain kelahiran Sepanyol itu diberikan peranan sebagai kapten utama pasukan dan turut diturunkan dalam kesemua 18 perlawanan diharungi Harimau Selatan termasuk dalam tiga aksi saingan Piala FA.
Ini membuktikan kepercayaan tinggi yang diletakkan pengendali pasukan, Esteban Solari di atas bahu pemain berusia 31 tahun itu.
Malah, kepimpinan Jordi di barisan pertahanan juga dipercayai menjadi antara faktor menyumbang kepada prestasi luar biasa dipamerkan barisan pertahanan JDT pada musim ini yang hanya merekodkan dua bolos daripada kesemua perlawanan diharungi.
Daripada dua bolos direkodkan itu, cuma satu daripadanya adalah daripada permainan terbuka iaitu ketika aksi menentang Kelantan FC dalam perlawanan Liga Super 2023 pada 11 Mac lalu yang menyaksikan JDT menang 5-1.
Kekebalan dipamerkan pasukan JDT di saingan liga termasuk ketika perlawanan menentang pesaing utama seperti Selangor FC dan Sri Pahang tentunya memberikan momentum terbaik buat pasukan sebelum memasuki kancah Liga Juara-Juara Asia dengan lebih menyakinkan pada musim ini.
2) Saddil Ramdani
Saddil kini lebih banyak beraksi di posisi sayap kiri pada musim ini. — Facebook/SabahFC
Tidak dinafikan, pada musim lalu, Saddil Ramdani merupakan antara pemain yang menjadi senjata utama pasukan Sabah FC di bahagian sayap kanan.
Namun begitu, rekod sumbangannya terhadap barisan serangan skuad Sang Badak pada musim baharu kali ini dilihat bukan sahaja konsisten, malah lebih baik berbanding musim sebelumnya.
Sebagai contoh, pemain kelahiran Indonesia ini berjaya mencatatkan lima gol daripada hanya 10 aksinya bersama pasukan berbanding empat jaringan daripada 17 perlawanan dilalui pada musim lalu.
Pada masa sama, Saddil yang baru berusia 24 tahun itu juga menjadi pemain kedua tertinggi yang membuat bantuan gol dengan empat bantuan jaringan, iaitu hanya kurang satu daripada Jailton Paraiba yang mempunyai lima bantuan gol.
Kebolehannya mengekalkan prestasi cemerlang dalam membantu barisan hadapan pasukan Sabah FC itu agak menakjubkan meskipun dia kini lebih banyak diletakkan di bahagian sayap kiri pasukan berbanding di posisi kanan pada musim lalu.
3) Kevin Ingresso
Kevin (tengah) ketika beraksi bersama Sri Pahang FC pada musim ini. — Facebook/SriPahangFC
Sri Pahang FC membuat keputusan untuk menyambung khidmat Kevin Ingresso selepas pemain import Filipina itu berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan meskipun hanya menyertai pasukan ketika jendela perpindahan pemain kedua pada Julai tahun lepas.
Pemain berdarah kacukan Jerman itu pada awalnya menyertai skuad Tok Gajah dengan tempoh pinjaman selama enam bulan.
Pada musim ini, Kevin,30, merupakan menjadi pilihan utama ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemain tengah bertahan.
Kehadirannya ternyata memberikan kestabilan buat pasukan di bahagian tengah padang khususnya dalam memberikan perlindungan tambahan kepada barisan pertahanan skuad Tok Gajah yang kini menghuni tangga ketiga Liga Super 2023.
Dalam pada itu, Kevin juga menunjukkan peningkatan dari segi aspek serangan dalam corak permainannya pada musim ini apabila berjaya merekodkan satu jaringan dan dua bantuan gol setakat 15 perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram