Lama menunggu khabar, Sri Pahang bakal sambut kehadiran 2 import Brazil


  • Podium
  • Isnin, 03 Jul 2023

SEKITAR sesi latihan barisan pemain Tok Gajah dalam menghadapi Gergasi Merah dalam pusingan kedua Liga Super 2023. — Instagram/officialsripahang

WALAUPUN Sri Pahang FC berada dalam kedudukan selesa di saingan Liga Super 2023, namun ia bukan tiket buat skuad Tok Gajah 'bersantai' dan tidak mengambil bahagian dalam membawa masuk pemain baharu menjelang jendela perpindahan Julai ini.

Ketika kelab lain rancak mengumumkan pemain baharu, Sri Pahang pula disebut antara kelab yang lambat untuk memberi khabar gembira buat penyokongnya.

Bagaimanapun, terdapat desas-desus bahawa pihak pengurusan Tok Gajah dalam rundingan untuk membawa masuk dua tonggak import dari Brazil bagi memperkuatkan pasukan itu dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

WhatsApp Image 2023-07-03 at 14.06.56

Matheus musim ini mewakili CD Santa Clara di divisyen kedua Liga Portugal. — Instagram/matheusbarcelos

Perkara itu dikongsikan menerusi wartawan Astro Arena pada laman Twitter, @FadhirulS yang memberi bayangan kepada penyokong bola sepak tanah air bahawa skuad Tok Gajah bakal menerima pemain import dalam masa terdekat.

“Sri Pahang difahamkan sedang dalam rundingan untuk bawa masuk dua tonggak import dari Brazil bagi memperkuatkan pasukan hadapi baki saingan Liga Malaysia 2023,” katanya dalam hantaran tersebut.

Walaupun nama kedua pemain itu tidak didedahkan namun terdapat salah seorang penyokong menyebut salah seorang nama pemain Brazil iaitu Matheus Babi atau nama sebenarnya Matheus Barcelos da Silva yang dijangka akan sertai skuad Tok Gajah itu.

Sebelum ini, penyerang kelahiran Brazil, Matheus dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang FC selepas menamatkan tempoh pinjamannya bersama kelab Liga Portugal, CD Santa Clara.

Ketika bersama CD Santa Clara musim lalu, Mathues merekodkan 31 penampilan dalam semua kejohanan dan berjaya menjaringkan enam gol.

Sekiranya penyerang berusia 25 tahun itu menyarung jersi Sri Pahang, dia dijangka akan mengambil posisi Lucas Silva yang difahamkan tidak berada dalam perancangan pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad di pusingan kedua Liga Super.

Pasukan Tok Gajah kini menghuni tangga ketiga carta dengan kutipan 31 mata dalam 15 perlawanan liga berlangsung dan akan menerima kunjungan daripada Selangor FC untuk saingan Liga Super pada 9 Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram