SELEPAS berteka-teki mengenai siapakah bakal dibawa oleh Sabah FC untuk bergandingan dengan Darren Lok di posisi serangan, pihak pengurusan akhirnya mendedahkan tonggak import baharu mereka.
Sang Badak membawa dua pemain import baharu iaitu Miguel Cifuentes dan Ramon Machado de Macedo dalam jendela perpindahan kedua Liga Super 2023 musim ini.
Cifu yang tidak menyambung kontrak bersama Kelantan berjaya merekodkan 15 penampilan dalam semua kejohanan termasuk peringkat suku akhir Piala FA 2023.
Dalam 15 penampilan, dia menjaringkan empat gol dan dua bantuan gol. Dan paling penting, kesungguhannya membantu pasukan di atas padang dijangka menambat hati ramai penyokong Sabah FC.
Cifu (kiri) dan Machado (kanan) sudah mula turun latihan bersama Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
Manakala Machado pula sebelum ini beraksi dalam Liga Azerbaijan bersama pasukan Gabala FC yang kini berada di tangga keempat liga.
Pemain berusia 32 tahun itu juga mempunyai pengalaman beraksi di Liga Brazil sejak bermula kariernya sebagai pemain bola sepak profesional pada 2013.
Untuk rekod bersama Gabala FC, Machado beraksi sebanyak 32 perlawanan dan berjaya menjaringkan lapan gol dan dua assist bagi musim 22/23 ini.
Ahmad Marzuki Nasir. — Facebook/Sabah FC
Bercakap kepada Majoriti, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, dua pemain import baharu itu kini mula menunjukkan peningkatan positif bersama pasukan.
"Setakat ini Cifu dan Machado dapat menyesuaikan diri dengan pasukan, lebih-lebih lagi Cifu.
"Cifu sudah bermain di Kelantan FC, diharapkan dua kemasukan pemain ini lebih-lebih lagi di bahagian serangan Sabah FC semakin tajam," katanya pada Majoriti.
Dalam pada itu, Marzuki mendedahkan akan ada kemasukan pemain tempatan baharu jika semua urusan berjalan dengan lancar.
"Saya sebenarnya cuba rahsiakan, mungkin akan ada yang keluar atau ada yang masuk.
"Setakat ini masih dalam perbincangan, kalau perpindahan ini berlaku ia akan menjadi kejutan buat Sabah FC," ujarnya.
Sabah kini menduduki tangga kelima Liga Super dan pastinya mahu tampil lebih garang untuk merampas kembali slot ke Asia.
Dengan kecederaan Darren Lok yang semakin pulih, diharapkan gandingan dia bersama dua pemain import baharu itu dapat memberikan tambah nilai buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram