BUKAN sekali kita mendengar penyokong membandingkan prestasi pemain bila beraksi di kelab mahupun pasukan kebangsaan.
Pemain sayap Sabah FC yang berasal dari Indonesia, Saddil Ramdani meluahkan kemarahannya di Instagram baru-baru ini apabila tidak berpuas hati dengan kritikan yang dilemparkan para penyokong Sang Garuda.
Saddil mengakui semangatnya semakin luntur apabila membaca komen-komen yang mengkritik keputusannya beraksi di Malaysia berbanding berkelana di Eropah, Jepun dan Korea Selatan.
Pemain berusia 24 tahun itu sempat mendiamkan penyokong negara jiran yang mempersoalkan keputusannya beraksi di Liga Malaysia (Liga M) dan menjelaskan bahawa dia juga memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri kancah domestik.
"Dan perkara terakhir yang anda katakan bermain dalam Liga Malaysia adalah perkara biasa? Hahah, berapa ramai orang yang telah pulang dan tidak dapat bermain di sini kerana tekanan dan permintaan yang pelbagai, jika anda tidak percaya, cuba sahaja. Saya harap lebih ramai pemain bermain di sini.
“Adakah anda fikir mudah untuk menyesuaikan diri di sini? Saya mengambil masa tiga tahun untuk menyesuaikan diri supaya saya dapat menyesuaikan diri dengan jurulatih dan pengurusan pasukan, saya bukan sesiapa di sini, anda faham?
Dengan kritikan penyokong Sang Garuda mengatakan Liga Malaysia mudah, Majoriti senaraikan tiga pemain Indonesia gagal adaptasi dengan segera dalam Liga Super:
Abimanyu hanya sempat beraksi selama 35 minit sebagai pemain gantian ketika menyarung jersi JDT. — Facebook/JDT
1. Syahrian Abimanyu (Johor Darul Takzim)
Syahrian Abimanyu seorang 'wonderkid' Indonesia yang tidak berjaya mendapat tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Takzim (JDT) sekali gus gagal di Liga Super.
Mula menyertai JDT pada Disember 2020 selepas meninggalkan kelab Indonesia, Madura United untuk menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang buat kelab tersebut.
Namun ia tidak berlaku seperti yang dirancang, Abimanyu hanya sempat beraksi selama 35 minit sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang PJ City FC dan Sabah FC di saingan Liga Super 2021.
Pemain tengah itu gagal menyaingi kehebatan Leandro Velazquez, Syamer Kutty Abba, Natxo Insa, Afiq Fazail dan Harris Harun yang menyebabkan dia dipinjamkan ke Australia dan berhijrah semula ke Indonesia dengan menyertai Persija Jakarta pada 2022.
Evan Dimas digelar sebagai ‘anak ajaib’ oleh media Indonesia. — Facebook/Selangor FA
2. Evan Dimas Darmono (Selangor FC)
Evan Dimas Darmono turut dilabel sebagai salah seorang pemain muda harapan Indonesia selepas dia melakukan debut bersama skuad nasional Indonesia ketika berumur 19 tahun.
Pemain berusia 28 tahun itu pernah digelar sebagai ‘anak ajaib’ dalam kalangan rakan-rakan sepasukan di kelab lamanya iaitu SSB Mitra Surabaya dan Persebaya Surabaya.
Mula bermain bola sepak pada usia 10 tahun, Evan Dimas dilahirkan oleh Sekolah Sepak Bola (SSB) Mitra Surabaya dan dari situlah, dia mula mendapat gelaran ‘anak ajaib’ dek kerana bakatnya.
Dia juga boleh dikatakan antara bakat terbaik di negara jiran selepas Andik Vermansyah dan dilabel oleh media Indonesia sebagai pemain bolasepak era moden ketika itu.
Namun hampa bagi penyokong Selangor selepas untuk melihat Evan Dimas menyambung legasi yang ditinggalkan Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Andik.
Pemain berketinggian 1.67 meter (m) ini sempat beraksi dalam 20 perlawanan namun gagal menjaringkan sebarang gol dan hanya dua assist yang berjaya dilakukannya.
Selepas itu dia kembali ke Indonesia untuk menyertai Barito Putera pada musim 2020 bersama rakan senegaranya, Ilham Udin Armaiyn yang turut menyertai Selangor pada 2019.
Ferdinand hanya mampu beraksi dalam lima perlawanan Liga Super sebelum membuat keputusan untuk kembali ke Indonesia. — Facebook/Kelantan FA
3. Ferdinand Alfred Sinaga (Kelantan FC)
Penyokong Harimau Malaya pastinya kenal dengan bekas penyerang pasukan kebangsaan ini yang sering mendatangkan ancaman buat kubu pertahanan skuad kebangsaan.
Garang bersama Indonesia tak bermaksud hebat ketika beraksi untuk kelab yang diwakilinya.
Mungkin di Indonesia, Ferdinand Alfred Sinaga sudah tahu corak permainan rakan sepasukan dan pihak lawan.
Tapi tidak di Kelantan FC, apabila dia hanya mampu beraksi dalam lima perlawanan Liga Super sebelum membuat keputusan untuk kembali ke Indonesia.
Ferdinand yang menyertai Kelantan pada 2018 gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan dan budaya bola sepak di negara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram