'Saya harap masalah TRW selesai', Nuha Marong nekad tinggalkan Kelantan FC demi kelab Utara tanah air


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Nuha Marong meninggalkan Kelantan FC selepas enam bulan bersama. — Facebook/Kelantan FC

SATU-SATU masalah yang timbul dalam kem Kelantan FC selepas ramai pemain membuat keputusan untuk menamatkan kontrak lebih awal dengan pasukan dari Pantai Timur itu.

Sebelum ini beberapa pemain tempatan sudahpun meninggalkan pasukan lebih awal susulan isu pembayaran gaji yang tertunggak.

Kapten Kelantan FC, Mario Arques turut membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan buat kali kedua selepas berpisah pada musim 2021 untuk beraksi bersama Newcastle United Jets dalam Liga Australia.

Terbaru, penyerang import Gambia, Nuha Marong memutuskan untuk menamatkan kontraknya dengan pasukan lebih awal.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan apabila Nuha mengikut jejak langkah pemain import lain yang meninggalkan pasukan sebelum ini.

Farewell Nuha

Ucapan perpisahan daripada Nuha dalam Instagram.

"Terima kasih kepada semua peminat Kelantan FC untuk segala sayang yang saya terima sejak hari pertama. Kelantan sentiasa dekat di hati, dan saya harap semua masalah dalaman TRW selesai untuk selama-lamanya demi peminat sejati. Selamat maju jaya mengharungi baki saingan musim ini," tulis Nuha di Instagram.

Namun, khabar angin mengatakan penyerang 1.91 meter itu tidak akan meninggalkan negara meskipun sudah meninggalkan TRW.

Kecoh di media sosial Nuha bakal menyertai Penang FC selepas jentera serangan kelab itu dilihat tidak menjadi musim ini walaupun dengan kehadiran Giovane Gomes dan Adriano Narcizo.

Musim ini bersama Kelantan, Nuha berjaya melakukan enam penampilan dan tidak menjaringkan sebarang gol, hanya mencetak satu assist ketika bertemu Negeri Sembilan FC pada 1 April.

Krisis yang berlaku dalam pasukan antara pihak pengurusan dan pemain dikhabarkan menjadi punca utama mengapa ramai pemain khususnya pemain import memutuskan untuk meninggalkan kelab dari Pantai Timur itu.

Kelantan ketika ini menduduki tangga tercorot dalam carta Liga Super apabila hanya mampu mengutip empat mata selepas mengharungi 14 perlawanan liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram